STPM: Terengganu catat keputusan terbaik sepanjang zaman

KUALA TERENGGANU – Terengganu berjaya mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PN GK) 2.99 pada keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 yang diumumkan hari ini.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussein berkata, pencapaian itu bukan sahaja mengatasi mengatasi PNGK kebangsaan iaitu 2.80 malah terbaik yang pernah dicapai calon STPM negeri itu setakat ini.

“Sebanyak 99.79 peratus atau 2,322 daripada 2,349 calon STPM negeri ini lulus penuh iaitu mencapai sekurang-kurangnya satu Prinsipal.

“Seramai 47 calon memperolehi PNGK 4.0 iaitu semua A dalam subjek iaitu peningkatan berbanding cuma 23 calon pada tahun 2017,” katanya pada sidang akhbar di Jabatan Pendidikan Terengganu di sini semalam.

Shafruddin berkata, seramai 118 calon mendapat semua A iaitu kombinasi A dan A- berbanding 77 orang pada tahun lalu.

Menurut beliau, sebanyak 54.50 peratus atau 1,268 calon STPM negeri tersebut memperoleh PNGK 3.0 dengan Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif, Besut; SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok, Setiu muncul tiga sekolah terbaik di negeri terbabit.

“Nurhakimah Fauzi dari SMA Maarif, Mohamad Aizudin Mah Hassan (SMK Kuala Besut) dan Mohamad Amir Mohamad Rozami (SMK Nasiruddin Shah, Besut) pula muncul pelajar terbaik STPM negeri,” katanya. – K! ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com