Pesalah hina Islam boleh rayu hukuman 10 tahun penjara

Seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman sepuluh tahun penjara kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW boleh merayu sabitan kesalahannya itu, maklum Timbalan Menteri Undang-undang Hanipa Maidin.

“Pesalah yang disabitkan hukuman itu boleh merayu pemenjaraannya jika dia merasakan keputusan tersebut sebagai keterlaluan,” kata Hanipa kepada Malaysiakini.

Beliau berkata memandangkan kes itu diputuskan di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak, pesalah boleh merayu sabitannya di mahkamah tinggi dan permohonan akhirnya di Mahkamah Rayuan.

Terdahulu hari ini Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memaklumkan mengenai sabitan hukuman berkenaan.

Fuzi berkata pertuduhan terhadap empat individu terbabit yang dibuat semalam kerana memuat naik komen-komen berbentuk penghinaan itu adalah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505(c) KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

“Pemilik akaun Facebook Ayea Yea dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak di bawah Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM.

“Tertuduh mengaku salah terhadap 10 pertuduhan dan telah dijatuhi hukuman 10 tahun 10 bulan penjara, yang berjalan secara berasingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Latheefa Koya berkata hukuman tersebut tidak seimbang dan menggesa semakan semula dilakukan.

Bagaimanapun, Hanipa menegaskan keputusan mahkamah perlu dihormati.

“Tapi semua orang berhak mengeluarkan pendapat mengkritik keputusan itu selagi ia tidak menghina mahkamah,” katanya lagi.



Sumber: cempedakcheese.com