Pemuda maut langgar kerbau

KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor kerbau dalam kejadian di Kampung Surau Panjang di sini, malam tadi.

Mangsa, Muhammad Syawal Jusoh, 24, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di bahagian badan.

Difahamkan, kemalangan kira-kira jam 8 malam itu berlaku ketika mangsa melalui jalan di kawasan berhampiran pejabat tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kampung berkenaan.

Sebelum itu, mangsa yang menunggang Yamaha 125Z secara bersendirian, dikatakan baru saja keluar semula dari rumahnya selepas pulang daripada bermain bola sepak.

Rakan mangsa, Mohd Azri Abdullah, 25, berkata Muhammad Syawal ditemui seorang pemancing yang berada di kawasan berkenaan selepas terdengar bunyi hentaman kuat.

“Mungkin Allahyarham ke kawasan itu untuk melihat orang memancing dan ketika ditemui, dia sudah tak bernyawa manakala kerbau yang dilanggar pula sedang tenat.

“Saya dapat tahu pun selepas ada rakan lain WhatsApp dan tanpa berlengah terus bergegas ke tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Ibu mangsa, Zaharah Abdullah, 60, berkata sebelum kejadian, Muhammad Syawal yang juga anak kesembilan daripada 11 beradik sempat pulang ke rumah selepas bermain bola sepak di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor.

“Bagaimanapun dia keluar semula tidak lama kemudian… tak sangka itulah kali terakhir saya melihatnya.

“Kejadian ini amat mengejutkan, lebih-lebih lagi dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan pergi buat selamanya,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Syawal masih belum bekerja selepas baru saja menamatkan pengajiannya di Akademi Binaan Malaysia (ABM), Jenagor dalam bidang pemasangan pentas bagi projek binaan bangunan.

“Walaupun sedih, saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

Difahamkan, kerbau yang dilanggar mangsa kemudian disembelih orang kampung, namun tidak dapat dipastikan sama ada dagingnya dimakan atau tidak.



Sumber: cempedakcheese.com