‘Pembinaan ECRL tidak menguntungkan kita’ – Tun M

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sekiranya projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dilaksanakan, dikhuatiri negara akan terikat dengan jumlah hutang dengan faedah yang akan meningkat kepada RM130 bilion.

Perdana Menteri berkata, perjanjian kontrak projek yang dilakukan itu tidak mengambil kira kepentingan negara sebaliknya segala-galanya menguntungkan pihak lain.

“Tidak ada yang menguntungkan kita, umpamanya jika kami tamatkan perjanjian ini, kita terpaksa bayar pampasan berbilion-bilion, ini menjadi masalah apabila kita menghentikan projek itu.

“Tetapi kalau diteruskan pun kita akan terikat dengan hutang berbilion-bilion dan akan mengambil masa puluhan tahun untuk diselesaikan dan akhirnya jumlah hutang dengan faedah akan meningkat kepada RM130 bilion.

“Jadi, apabila menghentikan projek ini, kita selamatkan negara daripada hutang sejumlah itu, tetapi hutang masih ada yang perlu ditanggung oleh kita,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin mengetahui sama ada Malaysia menanggung kerugian atas pampasan dan faedah-faedah tertentu selepas ECRL ditangguhkan sejak 3 Julai 2018.

Dalam pada itu, Mahathir ketika ditemui pemberita berkata, jika projek ECRL diteruskan, kerajaan terpaksa meminjam kira-kira sebanyak RM60 bilion untuk membuat bayaran balik.

“Kita terpaksa membayar balik dengan faedah sekali dan ia akan mengambil masa kira-kira 30 tahun malah dalam tempoh berkenaan jumlah itu ditambah dengan faedah akan mencapai lebih RM100 bilion yang dianggarkan kira-kira RM130 bilion.

“Sebab itu, kita tidak mampu membiayai projek ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com