Pemain Nafi Terengganu FC Ada Krisis Dalaman


KUALA TERENGGANU: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Ahmad Syamim Yahya menafikan pasukannya berdepan krisis dalaman biar pun belum mampu mempamerkan belang sebenar sejak lima perlawanan terdahulu termasuk gagal mencatat kemenangan di laman sendiri.

Sebaliknya bekas pemain kebangsaan kelahiran Raub, Pahang itu mengakui faktor keserasian antara pemain menjadi penyebab naib juara Piala Malaysia musim lalu itu belum mantap dan masih bergelut mencari kemenangan di tempat sendiri.

“Pasukan OK, tiada sebarang isu termasuk masalah dalaman antara kami dan majikan, jika dilihat daripada barisan pemain termasuk tenaga import, mereka semuanya berkualiti dan kuat kerana masing-masing mempunyai kemahiran yang tinggi.

“Malah jika dilihat musim lalu pun skuad kami ini yang sebahagian besarnya adalah pemain sama sudah membuktikan kemampuannya sehingga bergelar naib juara Piala Malaysia.

“Namun, saya tidak menolak faktor keserasian antara pemain baharu dan sedia ada menjadi penyebab kami gagal memperagakan aksi terbaik namun ia tidak begitu serius dan kritikal.

“Kami percaya selepas beberapa perlawanan lagi, masalah ini dapat diatasi lebih-lebih lagi kualiti yang ada pada pemain tempatan dan juga import serta ditambah pengalaman ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim menjadi elemen penting buat pasukan," kata Syamim.

Musim ini TFC meletakkan harapan tinggi kepada pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Lee Tuck dan pemain terbaik kelab Lokomotiv Tashkent  (Liga Uzbekistan) musim lalu, Sanjar Shaakmedov selain pemain Kemboja, Thierry Chantha Bin untuk mengemudi jentera tengah pasukan.

Namun ketiga-tiga pemain itu dilihat belum benar-benar serasi selain lebih gemar mengamalkan corak permainan individu.

“Apa yang kami harapkan pertemuan dengan Melaka United (MU) Sabtu ini, semua pemain mesti mematuhi taktikal yang diatur jurulatih bagi memastikan tiga mata berjaya dikutip di tempat sendiri.

“Bagaimanapun kami juga mesti berwaspada kerana pasukan MU itu bukan calang-calang pasukan kerana mereka mempunyai kekuatan di semua posisi, kami harus menyekat mereka bermula daripada bahagian pertahanan lagi sebagaimana ketika beraksi menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) tempoh hari,” kata Syamim yang pernah menyarung jersi T-Team, Johor, FELDA United dan Pahang. - Berita Harian