Soalan:
Apa petua untuk lelaki yang sedang sibuk belajar tetapi pada masa yang sama suka dengan seorang perempuan. Kalau nak kahwin, kekuatan ekonomi masih lagi lemah.
Jawapan:
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi SAW bersabda:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
“Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).” [Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)]
Imam Nawawi menjelaskan: “Adapun pengertian al-ba’ah (الْبَاءَةَ) sendiri adalah jimak (hubungan intim), inilah makna al-ba’ah (الْبَاءَةَ) pada bahasa. Namun yang dimaksudkan adalah mampu untuk berjimak disertai dengan kemampuan memberi nafkah terlebih dahulu. Sesiapa yang tidak mampu berjimak lantaran belum mampu dari segi nafkah, maka hendaklah dia rajin berpuasa untuk mengekang syahwatnya yang menggelora. Gejolak maninya dapat ditahan dengan rajin berpuasa sunat seperti itu. Itulah maksud hadis yang dikemukakan di atas. Hadis tersebut ditujukan kepada para pemuda yang syahwatnya sudah menggelora namun belum mampu untuk memberi nafkah.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/154)
Imam al-San’ani pula menyebut: “Para ulama’ berselisih pendapat pada maksud al-Ba’ah (الباءة). Pendapat yang paling sahih (qaul al-asah), maksud al-Ba’ah ialah jimak atau mampu bersetubuh. Maka hadis tersebut dibaca dengan: Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu bersetubuh kerana kemampuannya untuk menanggung perkahwinan, maka berkahwinlah. Sesiapa yang tidak mampu bersetubuh kerana lemah untuk menanggung perkahwinan, maka dia hendaklah berpuasa untuk mengekang syahwatnya.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram oleh al-San’ani, 2/159)
Dalam kitab Taudhih al-Ahkam menyebut: “Al-Ba'ah (الْبَاءَة) pada bahasa bermaksud jimak (bersetubuh). Akan tetapi maksud di sini ialah kemampuan untuk menanggung segala keperluan perkahwinan merangkumi mahar dan nafkah. Dan maksudnya: Sesiapa yang telah mampu dari kalangan kamu dengan memiliki kesemuanya itu, maka berkahwinlah.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, hlm. 214)
Hadis di atas juga menunjukkan bahawa yang belum mampu menikah dianjurkan menyibukkan diri dengan berpuasa. Ini kerana ia dapat melemahkan syahwat dan mempersempit jalan masuk syaitan dan perkara tersebut merupakan di antara sebab iffah (menjaga diri) dan menundukkan pandangan. (Lihat Majmu’ Fatawa, 3/329)
Walaubagaimanapun, bagi mereka yang sudah mempunyai kemampuan sama ada secara fizikal atau ekonomi, maka hendaklah segera bernikah. Ini kerana terdapat padanya banyak faedah dan kebaikan. Disebut dalam kitab Syarh Bulugh al-Maram: “Ramai dari kalangan ulama’ yang menyebut bahawa seseorang yang sudah mampu (secara fizikal dan ekonomi) untuk berkahwin, maka wajib baginya untuk berkahwin. Ini kerana pada dasarnya, perintah tersebut (فَلْيَتَزَوَّجْ) menunjukkan kewajiban, dan di dalam pernikahan itu terdapat maslahat yang agung.” (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, 3/179)
Kesimpulan
Dalam kes pelajar ini, saya titipkan beberapa nasihat:
1. Sekiranya mampu mengekang kehendak seumpama ini, maka cubalah kerana disebut oleh pujangga arab:
ذُبِحَ العِلْمُ عَلَى أَفْخَاذِ النِّسَاءِ
“Ilmu disembelih di celah-celah peha wanita.”
Ia memberi maksud hendaklah menahan daripada perkahwinan demi menumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk menuntut ilmu. Inilah resepi kejayaan tokoh-tokoh yang hebat pada zaman dahulu dan kini.
2. Cuba tingkatkan himmah untuk mencapai kejayaan yang cemerlang terlebih dahulu. Perkara ini akan membawa kepada kemanisan hidup di usia tua.
3. Jauhi rakan-rakan yang banyak berbual berkenaan dengan perkahwinan kerana menfaat ketika belajar adalah kurang ketika itu.
4. Pilihlah rakan-rakan yang menumpukan sepenuh perhatian dalam berusaha memahat kejayaan yang gemilang.
5. Sibukkan diri dengan buku, assignment, muzakarah dan kajian-kajian agar kejayaan dan kecemerlangan dapat dicapai.
6. Bacalah kisah para ulama’ yang menekuni ilmu dan kadang-kadang mereka tidak sempat mengecapi perkahwinan kerana cinta dan tamaknya mereka kepada ilmu. Antara buku tersebut ialah yang menceritakan berkenaan ulama' yang tidak berkahwin kerana sibuk dengan ilmu yang dikaryakan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.
Saya menutup perbincangan ini dengan menukilkan kenyataan yang menyebut: Antara racun yang paling bahaya bagi penuntut ilmu ialah apabila hilangnya semangat dan datangnya pula semangat dunia yang terbuka. Ini amat banyak memberi kesan kepada pelajar yang akhirnya mereka gagal dalam memperolehi ilmu. Antara contoh-contohnya ialah:
- Apabila sudah nampak mata pencarian hidup.
- Apabila sudah merasa lazat untuk menerima gaji dan sedikit habuan.
- Apabila sudah mabuk cinta dan mahu kahwin.
- Apabila terpengaruh dengan kawan-kawan yang tidak bersemangat.
- Apabila sentiasa mahu kesenangan dan berehat yang panjang.
Inilah racun yang berbahaya sebagai virus dalam kamus pelajar yang akhirnya membuatkannya meninggalkan cita-cita dan semangatnya. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 142)
Kami menutup dengan berdoa agar kita memperolehi ilmu bermanfaat:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” [Riwayat Ibn Majah (925)]
Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam menekuni ilmu seterusnya berkhidmat menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat. Amin.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media