MB Negeri Sembilan mengaku sekat penceramah agama sampaikan kuliah

SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini mengakui kerajaan negeri telah melarang seorang penceramah daripada menyampaikan ceramah agama di masjid di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, tindakan itu diambil berikutan kenyataan penceramah itu boleh menimbulkan rasa kurang senang dan perpecahan dalam kalangan umat Islam di negeri ini serta menjejaskan usaha dakwah.

Dakwanya, penceramah terbabit juga menuduh kerajaan menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), G25, Wahabi dan liberal.

“Memang kita sekat penceramah itu.

Saya sanggup terima kecaman dan serangan daripada membiarkan umat Islam berpecah dan menjadi mangsa fitnah dan polemik sebegini, lebih baik kita sekat.

“Saya tak akan bersikap terbuka dalam perkara yang menyebabkan masyarakat berpecah-belah. Saya percaya kalau kita sekat dia seorang, ada ramai lagi ustaz boleh berceramah lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menteri Besar Bersama Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Masjid dan Pelancaran Bulan Solat Berjemaah di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan seorang penceramah yang tular dalam media sosial bahawa Pejabat Menteri Besar membatalkan program kuliahnya di masjid di sini sebanyak dua kali iaitu pada 20 November 2018 dan 28 Februari lalu.

Dalam pada itu, Aminuddin meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan supaya meneliti latar belakang para penceramah sebelum diberi kebenaran berceramah di masjid dan surau di negeri ini.

“Dulu ramai yang kena gam tetapi sekarang yang ceramah sehingga memecah-belahkan umat Islam kita akan halang. Kita tak mahu jemaah yang datang takut (dengan ceramah mereka).

“Kalau dia nak berceramah boleh buat di luar, di kawasan lapang dan minta permit daripada polis tetapi jangan gunakan masjid,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com