Mat Sabu akui PH terancam dengan kerjasama UMNO, Pas

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) mengakui terancam dengan kerjasama di antara UMNO dengan Pas, dan kegusaran itu diakui Presiden Amanah, Mohamad Sabu, hari ini.

Pengakuan Mohamad yang juga Menteri Pertahanan itu sekaligus menjawab segala persoalan mengapa pemimpin PH begitu ghairah menyerang kedua-dua parti itu sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, barangkali disebabkan cuba untuk meredakan resah, Mohamad berkata, PH akan turun memberikan penjelasan dan yakin orang Melayu khususnya akan memahami.

“Saya tidak mahu mempertikaikan jenis perkahwinan mereka, tetapi berasa terancam buat sementara.

“Namun, apabila turun dan memberi penjelasan, kita yakin PH akan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya dalam Bicara Minda yang dimoderatorkan Tan Sri Johan Jaafar di sini hari ini.

Dalam pada itu, program Bicara Minda tidak terkecuali dari menjadi pentas untuk Mohamad ‘menyerang’ kerjasama di antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu tersebut.

“Ketika zaman Tun Razak, apabila Pas hendak sertai kerajaan campuran, mesti ambil persetujuan parti sama ada dalam muktamar atau Majlis Syura.

“Namun, kini menghairankan kenapa Pas dan UMNO seakan-akan bermain dalam gelap tentang kerjasama ini.

“Bukan pada masa ini sahaja, dulu juga ada permainan di belakang jumpa dengan pelbagai orang sehingga saya Husam (Datuk Husam Musa), Mahfuz (Datuk Mahfuz Omar) tidak tahu,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com