BACHOK – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hari ini berjanji untuk mengembalikan semula bayaran RM250 kepada mahasiswa sepertimana yang dinikmati pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) pada tahun depan.
Beliau berkata, pada tahun ini, kerajaan hanya mampu untuk memberikan RM100 kepada mahasiswa di bawah skim baharu, Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) yang menggantikan BB1M.
Menurutnya, pemotongan itu dibuat kerana kerajaan terpaksa berjimat-cermat untuk pengurusan membayar hutang pemerintah terdahulu berjumlah RM1 trilion.
“Keadaan kewangan semasa turut menyebabkan kadar bantuan kad buku dikurangkan selain keutamaaan kerajaan untuk menyalurkan lain-lain bantuan kepada golongan miskin.
“Itulah sebahagian hasil perbincangan mengenai perkara itu (kad buku) untuk tahun ini. Saya pohon maaf dan berjanji akan berusaha mendapatkan jumlah yang asal pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam Majlis Sepetang YB Dr. Maszlee Malik bersama warga UMK di Kampus Bachok, dekat sini, petang tadi.
Mahasiswa tersebut menuntut supaya kadar BPPT sama dengan BB1M iaitu RM250 yang didebitkan melalui Kad Diskaun Siswa 1Malaysia.
Sementara itu, menjawab soalan mahasiswa mengenai pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) Maszlee berkata, pembayaran balik bagi peminjam yang berpendapatan RM4,000 dikekalkan.
Menurutnya, pendekatan yang lebih berkesan perlu dilaksanakan agar pengurusan PTPTN terus memiliki dana untuk membantu pelajar lain yang masih memerlukan bantuan pinjaman.
“Mekanisme yang terbaik sedang dibincangkan dan sekiranya keadaan kewangan semasa negara pilih kita akan lakukan yang terbaik dalam tempoh yang terdekat.
“Bersyukurlah, paling tidak mahasiswa masih menerima bantuan kad buku walaupun pada kadar RM100,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Sumber: cempedakcheese.com