Kerjasama UMNO, PAS untuk menghalalkan jenayah yang dilakukan Najib – Tun M

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas yang dimeterai semalam sebagai usaha mengembalikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin dan menghalalkan semua jenayah yang didakwa dilakukan bekas Perdana Menteri itu

Perdana Menteri turut mempersoalkan Pas sama ada parti tersebut telah menganggap Najib yang sedang menghadapi tuduhan rasuah dan salah guna kuasa itu tidak bersalah.

“Apakah atas nama penyatuan Melayu dan Islam, rasuah, salah guna kuasa dan jenayah boleh dihalalkan? Apakah ini adalah pembohongan yang wajib?

“Betul Najib belum didapati bersalah kerana perbicaraan oleh Mahkamah belum dapat diadakan. Akan terimakah Najib sebagai pemimpin Pas jika ia didapati bersalah,” katanya dalam catatan blog beliau, chedet.cc, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir berkata, jika ahli dan pemimpin Pas arif dengan situasi yang berlaku di serata dunia, kenapakah mereka masih bersedia bersekongkol bersama UMNO dan Najib?

“Tidak sedarkah mereka bahawa ramai ahli UMNO sudah meninggal UMNO kerana telah jadi kleptokrasi dan bukan demokrasi.

“Pas perlu sedar nilai yang diterap dengan bekerjasama dengan Najib dan UMNO di waktu ini,” katanya.

Tegas Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), pihaknya sama sekali tidak gentar melihat gabungan Pas dengan UMNO itu.

“Ia memberi banyak isu dan peluang mendedahkan kedua-dua parti bahawa pembohongan sudah jadi wajib bagi mereka,” katanya.

Semalam, UMNO dan Pas secara rasmi mengumumkan kerjasama rasmi antara kedua-dua parti bagi tujuan penyatuan ummah.

Kerjasama itu merupakan satu ikatan yang menyatukan ummah tanpa meminggirkan keseluruhan masyarakat termasuk kaum Cina dan India. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com