Kerjasama PAS dan Umno akan terkubur sebelum PRU15

KERJASAMA PAS dan Umno dilihat tak ubah seperti sebuah penyatuan sementara dan akan terkubur sebelum Pilihanraya Umum ke 15 nanti, menurut seorang pemimpin PKR.

Pakatan Harapan juga dinasihatkan agar lebih fokus kepada agenda rakyat berbanding terlalu obses dengan agenda politik pembangkang.

“Kita perlu sampaikan perkara ini (penyatuan Pas dan Umno) kepada rakyat dan masyarakat, maka dengan sendirinya kerjasama PAS dan Umno itu akan dilihat sebagai hanya satu kerjasama yang kecil.

“Bila tiba PRU15 mereka akan berpecah,” kata Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menerusi portal KeadilanDaily.

Pakatan Harapan juga tidak perlu berasa terancam dengan penyatuan ‘sementara’ Umno dan PAS, ujar beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa pimpinan Harapan sebaliknya perlu menjelaskan kepada rakyat tentang usaha-usaha kerajaan Harapan untuk rakyat.

“Sebagai Pakatan Harapan, kita tidak seharusnya berasa terancam. Kita perlu kekal tegas pada prinsip kita yang mengekalkan keadilan untuk semua, agihkan agihan kekayaan kepada yang memerlukan tanpa mengira kaum. Itu semua prinsip yang kita pegang dalam Pakatan Harapan.

Katanya lagi, gabungan Pas dan Umno bukan sahaja membawa prinsip perjuangan yang tidak jelas malah begitu bercelaru.

“Kerjasama ini hanya sementara kerana tidak mempunyai asas yang kukuh dan kuat.

“Macam PKR punya prinsip yang kuat keadilan untuk semua. Atau ‘good governance’ atau tata kelola yang betul,” katanya.

Sebelum ini PAS dan Umno mengumumkan kerjasama secara rasmi pada 5 Mac lalu selepas BN memenangi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands dan Semenyih.

Menggunakan alasan Melayu dan Islam, kedua-dua parti menyatakan kerjasama itu dimeterai di peringkat PRK terlebih dahulu.



Sumber: cempedakcheese.com