Kerajaan PH mungkin gubal undang -undang halang komen di portal berita

KUALA LUMPUR – Ruangan komen di portal berita mungkin tidak lagi dibenarkan kerana kerajaan dalam pertimbangan untuk menggubal satu undang-undang yang berkaitan dengan aspek tersebut.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu walau bagaimanapun masih dalam pertimbangan dan belum dibawa ke Kabinet untuk perbincangan lanjut.

Jelas beliau, asasnya pengendali portal berita perlu bertanggungjawab terhadap komen-komen tersebut kerana ia ditulis di ruangan yang disediakan mereka.

“Saya rasa semua setuju kerap kali kita lihat perkara yang dibangkitkan di situ adalah yang boleh membangkitkan perasaan marah dan sebagainya, ini yang kita kena hati-hati.

“Saya dalam proses sama ada untuk mempertimbangkan atau tidak satu undang-undang digubal untuk melihat aspek itu tapi perkara itu masih dalam pertimbangan, belum bawa ke Kabinet lagi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah dalam titah ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 mahu tindakan tegas diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara termasuk penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, Gobind mendedahkan kerajaan sedang mengkaji untuk memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memadamkan paparan berbaur perkauman. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com