KUALA LUMPUR – Kedudukan kewangan kerajaan yang belum kukuh menjadi sebab mengapa pemberian bantuan wang ihsan bencana banjir berkurangan daripada RM1,000 pada tahun 2017 kepada RM500 untuk 2018 bagi setiap keluarga.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, apabila keadaan kewangan itu semakin baik, kerajaan sedia menambahkan jumlah pemberian tersebut.
“Kita hendak juga bagi lebih daripada itu. Namun kemampuannya kurang. Kita beri apa yang kita mampu.
“Itupun wang ihsan, kalau kerajaan ada lebih (kewangan), kita bagi lebih,” katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) yang bertanyakan mengapa pemberian wang ihsan tersebut dikurangkan semasa sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Ketika menjawab soalan itu juga, Dr. Wan Azizah mahu tahu dimanakah Rosol mendapat maklumat bantuan wang ihsan bencana banjir pada tahun 2017 berjumlah RM1,000 untuk setiap keluarga kerana nilai itu berbeza berbanding apa yang dimaklumkan kepadanya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri juga berkata, kerajaan buat masa ini belum lagi menilai bagaimana kaedah pemberian pampasan mahu diberikan kepada mangsa-mangsa yang terkesan akibat pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor.
Katanya, kerajaan kini lebih tertumpu untuk mengatasi masalah tersebut termasuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada mangsa.
Beliau berkata demikian ketika menjawa soalan tambahan daripada Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanyakan tentang perkara tersebut.- UTUSAN ONLINE
Sumber: cempedakcheese.com