Kerajaan buat kesilapan besar, potong subsidi petani, nelayan – Johari

ALOR SETAR – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri menyifatkan bahawa kerajaan telah membuat kesilapan besar apabila membuat keputusan memotong subsidi para petani dan nelayan, yang begitu dirasai golongan itu dan orang Melayu secara amnya.

Menurut Pengerusinya, Datuk Johari Abdul, apatah lagi keputusan tersebut dibuat enam bulan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu di saat seluruh rakyat mengharapkan sesuatu yang positif daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi meringankan beban sara hidup mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan supaya bukan sahaja mengembalikan semula subsidi berkenaan yang sebelum ini dinikmati semasa pemerintahan kerajaan terdahulu tetapi sebaliknya menambah baik pemberiannya lagi.

“Harus diingat bahawa elemen kos sara hidup ini sangat penting untuk kerajaan tangani segera kerana rakyat sedang ‘writing on the wall’ (mencatat untuk memberi peringatan).

“Di Kedah, kita mendapat mesej (peringatan) ini hampir setiap hari. Justeru, kita harus bertindak cepat,” katanya dalam sidang akhbar sempena makan malam bersama media di sini, semalam.

Menurut Johari, kerajaan harus memahami bahawa apabila subsidi dan insentif pertanian dipotong, hasil pengeluaran pertanian dan perikanan tempatan akan terjejas sekali gus menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja lebih untuk mengimport produk-produk terlibat daripada negara lain.

“Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu memberi penekanan terhadap isu kos sara hidup rakyat dan sehubungan itu mengambil keputusan untuk turun berjumpa golongan terlibat dan merasai denyut nadi mereka di Kedah sehari suntuk pada 31 Mac ini.

“Beliau (Anwar) akan turun melawat golongan nelayan di Kuala Kedah, Pokok Sena (pesawah) dan Padang Terap (penoreh getah),” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Johari memberitahu bahawa MPN PKR negeri akan memulakan siri jelajah MPN 2019 di setiap kawasan Parlimen di negeri ini bermula 15 Mac ini sehingga di lokasi terakhir di Langkawi pada 27 April depan.

“Siri jelajah ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak-anak muda tentang prestasi kerajaan PH, apa kehendak dan masalah rakyat.

“Hasil daripada jelajah ini akhirnya, kita akan sediakan laporan yang komprehensif seterusnya membentangkannya kepada agensi kerajaan terlibat untuk kita tangani bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com