Kekalahan Pakatan Harapan, PH pada dua PRK iaitu di Cameron dan malam tadi di Semenyih nampaknya pasti menjadi satu mesej yang jelas daripada rakyat yang sudah mula bosan dengan permainan politik dan hanya ingin melihat hasil.
Hal ini mendapat respon dari Naib Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang melihat kekalahan itu adalah isyarat kepada mereka untuk memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan, yang menyebabkan rakyat menghukum PH pada PRK.
"Kita dah cuba sedaya yang mungkin untuk memberi penerangan dan sebagainya di Semenyih, tapi rakyat lebih tahu apa pilihan mereka dan kita terima keputusan ini dengan hati yang terbuka.
"Selepas ini, di mana-mana bahagian yang kita rasakan ada kesilapan serta kelemahan, itu tentulah kita perlu cuba perbaiki sedaya mungkin.
"Kita anggap ini sebagai satu mesej yang perlu kita hayati sebaik mungkin dan lakukan yang sebaik mungkin selepas ini," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PH di Semenyih dekat sini, hari ini.
Malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi pada PRK DUN Semenyih, selepas memperoleh 19,780 undi.
Zakaria menang dengan majoriti 1,914 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (725 undi).
Sumber: Berita Harian
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.
Sumber: Oh! Media