Kakitangan JAKIM maut kereta terbalik

PENJAWAT awam wanita maut selepas Perodua Kancil dipandunya terbalik lalu terlanggar besi penghadang jalan jalan dalam kemalangan di Kilometer 44 sebelum susur masuk ke pekan Dengkil dari arah Putrajaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, kejadian 6.10 petang itu menyebabkan wanita terbabit, Shaarini Shari Pinansa, 38, yang juga kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ketika kejadian, kereta mangsa dari arah Putrajaya ke Bandar Baru Salak Tinggi dan secara tiba-tiba, sebuah Perodua Alza hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Perodua Kancil berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, Perodua Kancil terbalik lalu terlanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri menyebabkan pemandunya tersepit dalam kenderaan kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang beralamat di Salak Tinggi, Sepang parah pada kepala dan dada manakala keseluruhan kenderaan dipandunya remuk teruk.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R Kalidasan di talian 012-7952282 bagi membantu siasatan.



Sumber: cempedakcheese.com