‘Jaga rumah tangga sendiri, usah sibuk ganggu UMNO-PAS’

BANGI – “Tak usah sibuk komen kerjasama UMNO-PAS sebagai sumbang mahram, bukan atas dasar cinta atau lain-lain. Ramai orang kahwin paksa, bahagia juga. Inikan pula perkahwinan parti yang tidak melibatkan hubungan kelamin.”

Demikian sindir pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah terhadap segelintir pemimpin Pakatan Harapan yang mengkritik keras kerjasama rasmi antara UMNO dan PAS, biarpun atas dasar ummah.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Rais Hussin Mohamed Ariff menyifatkan ‘persandingan’ kedua-dua parti sebagai sumbang mahram, kerana membabitkan dua keturunan tercemar mengahwini satu sama lain untuk menutup perkara yang memalukan.

Manakala, Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pula mendakwa, perkahwinan UMNO-PAS sebagai berpaling dari perjuangan tokoh kedua-dua parti.

“Tindakan pemimpin UMNO dan PAS, serta apa yang dipanggil perkahwinan, bermakna kedua-dua pihak telah berpaling dari semangat serta warisan tokoh-tokoh lama mereka,” katanya.

Menyelar kenyataan kedua-dua pemimpin berkenaan, Ridhuan Tee menasihatkan mereka supaya menjaga ‘rumah tangga’ masing-masing, daripada sibuk menjaga perihal orang lain.

“Tak perlu nak intai rumah tangga orang lain. Rumah tangga sendiri pun berantakan. Sedap saja nak jaga tepi kain orang lain.

“Saya bimbang, kerana terlalu gatal menjaga rumah tangga orang lain, takut-takutlah kain isteri koyak pun tak perasan. Sedar-sedar dah jadi milik orang lain. Tergantung sepi,” katanya.

Pada masa sama, Ridhuan Tee menegaskan, UMNO-PAS berpakat dan bekerjasama demi masa depan agama, bangsa dan agama, maka jika itu matlamatnya, perkahwinan ini sah dan akan kekal selama-lama sebab asas yang kukuh.

“Perkahwinan yang tidak kekal adalah perkahwinan yang berasaskan kuasa dan undi semata-mata, hingga jadi pengecut hendak menegur. Islam, nabi dan raja kita dihina sedemikian rupa, tapi mereka senyap seribu bahasa,” katanya.

Semalam, UMNO-PAS mengumumkan kerjasama rasmi demi penyatuan ummah, walaupun bukan sebagai blok pembangkang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyatuan ummah yang diwujudkan akan menjamin kestabilan negara, tanpa meminggirkan masyarakat majmuk yang lain.



Sumber: cempedakcheese.com