Irfan Bakti Gembira Pemain Sahut Cabaran


KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kejayaan pemainnya menyahut cabaran menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri malam tadi sebagai kejayaan manis dan pencapaian terbaik pasukannya musim ini.

Ini kerana selepas merekodkan kemenangan pertama di depan penyokong sendiri, tiga gol dihasilkan ketika menumbangkan Melaka United 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi adalah jaringan terbanyak dalam satu aksi setakat ini berbanding lima perlawanan terdahulu.

Malah, lebih menggembirakan Irfan apabila anak buahnya berjaya melaksanakan taktikal dirancang bermula awal permainan lagi dengan 'mematikan enjin' skuad Hang Tuah kendalian Zainal Abidin Hassan diketuai kaptennya, Safiq Rahim.

"Sebelum perlawanan bermula saya ada beritahu pemain supaya meningkatkan prestasi dan perlu mencatat kemenangan di laman sendiri kerana peminat sentiasa memberikan sokongan padu kepada pemain setiap kali beraksi dan mereka dahagakan kemenangan.

"Kita tak mahu selepas ini peminat rasa kecewa dan hilang semangat untuk datang ke stadium jika masih gagal beraksi dengan baik serta menamatkan kemarau kemenangan di tempat sendiri.

"Ternyata cabaran dan kata-kata yang disampaikan kepada pemain berjaya menyuntik semangat mereka beraksi dengan lebih baik, seterusnya mengutip tiga mata," kata Irfan.

Irfan bagaimanapun sedikit berang apabila beberapa peluang terhidang seharusnya berakhir dengan jaringan gagal dimanfaatkan sebaik mungkin anak buahnya.

"Saya akui satu keputusan yang baik pada malam ini (malam tadi) dan ia kemenangan manis, tapi jika pemain tidak tamak kita mampu menambah jaringan terutama di penghujung perlawanan.

"Namun mungkin pemain rasa dah menang mereka pun mencuba sendiri walaupun rakan ada peluang lebih baik untuk menghasilkan jaringan," katanya. - Berita Harian