Irfan Bakti Buat Rombakan


KUALA TERENGGANU: Irfan Bakti Abu Salim harus belum mampu tersenyum selepas Terengganu FC (TFC) masih kemarau kemenangan di laman sendiri.

Irfan yang sudah 'memperturunkan' segala ilmu kepada anak buahnya tanpa berselindung turut melahirkan rasa terkilan kerana pemainnya gagal menggunakan peluang beraksi di rumah sendiri untuk mengutip tiga mata.

Malah jurulatih berpengalaman berusia 67 tahun itu turut mengakui kurang senang dengan situasi itu selepas tiga perlawanan di tempat sendiri berakhir dengan keputusan seri biarpun mampu mencatat kemenangan.

“Selepas lima perlawanan, bagi saya peningkatan hanyalah daripada segi semangat saja manakala peningkatan berkaitan keyakinan bersama dengan bola masih lagi kurang, pemain dilihat masih lagi takut untuk menguasai bola.

“Apa yang kami harapkan selepas ini terutama bertemu Melaka United (MU) di laman sendiri Sabtu ini, pemain harus mengambil peluang itu sebaik mungkin untuk mengutip tiga mata pertama di depan penyokong sendiri,” ujar Irfan.

Selepas lima perlawanan, naib juara Piala Malaysia musim lalu itu kini mengutip enam mata dan berada di tangga keenam liga sesudah mencatat satu kemenangan di tempat lawan menumpaskan Kuala Lumpur 1-0 hasil jaringan pemain pertahanan, Igor Zonjic.

Tiga lagi perlawanan di tempat sendiri berakhir dengan keputusan seri iaitu 1-1 dengan PKNS FC, 2-2 dengan Johor Darul Ta`zim (JDT) dan terbaru seri 1-1 dengan Perak Jumaat lalu selain tewas 0-3 di tangan Pahang di laman mereka.

Ketika ditanya adakah berlaku rombakan dalam kesebelasan utamanya apabila bertemu MU nanti, Irfan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru sebaliknya akan menilai terlebih dahulu prestasi anak buahnya ketika sesi latihan.

“Kami akan putuskan dalam sesi latihan mengenai rombakan pemain, namun begitu mungkin kembalinya Khairul Izuan Rosli daripada kekejangan otot dan Malik Mat Ariff akan memantapkan lagi pasukan menjelang pertemuan dengan MU nanti,” katanya. - Berita Harian