Impak Positif Gandingan Lee Tuck & Sanjar Shaakhmedov


Gandingan pemain tengah, Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov, yang semakin baik adalah antara peyumbang kemenangan Terengganu FC (TFC) ke atas Melaka United.

Menurut jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim, kemenangan itu menjadi lebih manis dengan aksi Shaakhmedov yang berjaya membuka akaun jaringan bersama pasukan itu.

Kelibat Tuck pula jelasnya berjaya mengekalkan penguasaan bola kepada TFC selain umpanan untuk gol pertama dan kedua Sang Penyu.

"Kombinasi yang cukup baik di mana Tuck tidak banyak hilang bola dan Shaakhmedov pula berupaya menjaringkan gol kerana gerak tubuhnya boleh mengelirukan lawan.

"(Kipre) Tchetche juga menerima hantaran daripada mereka, cuma pergerakannya agak perlahan," kata Irfan.

Perlawanan itu juga menyaksikan lilitan kapten TFC disarung penjaga gol, Mohd Suffian Rahman, 41, dan dibalas dengan kejayaan mengawal pintu gol daripada dibolosi.

Kemenangan 3-0 begitupun masih meletakkan TFC di tangga keenam Liga Super dengan sembilan mata daripada enam perlawanan.

"Keputusan ini cukup baik untuk tidak mengecewakan penyokong TFC walaupun boleh menambah beberapa gol lagi," jelasnya. - Arena