Ikan kering dipijak, dijilat anjing di Langkawi

ALOR SETAR – Kotor dan menjijikkan. Itu keadaan sebuah premis di satu lokasi di Langkawi dekat sini yang didapati menjemur ikan kering di atas lantai dengan kira-kira enam ekor anjing dilihat berlegar-legar sambil memijak makanan tersebut.

Lebih menjijikkan apabila haiwan itu turut menjilat dan makan ikan kering yang dijemur tanpa sebarang pengawasan.

Difahamkan, kawasan berkenaan merupakan antara lokasi memproses ikan dan udang kering serta ikan bilis di pulau peranginan terkenal itu.

Presiden Persatuan Pengguna Pengguna Melayu Kawasan Utara, Che Johan Che Hassan berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa kerana ia melibatkan isu kebersihan makanan terutama dalam kalangan orang Islam.

“Pihak bertanggungjawab perlu bertindak segera dalam memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu video memaparkan beberapa ekor anjing memijak dan makan ikan kering yang dijemur di satu lokasi di Langkawi yang dirakamkan kru media penyiaran baru-baru ini.

Kata beliau, kejadian anjing yang bebas memijak dan makan ikan kering yang dijemur tidak boleh diterima kerana ia kotor dan sangat menjijikkan.

“Kita bimbang sekiranya ikan kering itu dipasarkan di pasaran tempatan yang mana saya kira rata-rata pembeli terdiri daripada orang Melayu,” ujarnya. – K! ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com