Hukuman penjara 10 tahun ke atas penghina Nabi tidak adil – Peguam PKR

Peguam Latheefa Koya menggesa dilakukan semakan semula terhadap hukuman penjara 10 tahun yang disabitkan terhadap pemilik akaun media sosial hari ini kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata hukuman itu yang diputuskan Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak hari ini ‘tidak seimbang dengan kesalahan’ dan boleh ditanggapi sebagai melanggar kedaulatan undang-undang.

“Terkejut dan tidak pernah terjadi mahkamah menjatuhkan hukuman sepuluh tahun penjara terhadap kesalahan sebegini.

“Dia (yang disabitkan pertuduhan itu) telah mengaku bersalah, (suatu hal) yang perlu diambil kita. Sepuluh tahun berturut-turut tidak seimbang dan perlu disemak semula.

“Ini melanggar kedaulatan undang-undang,” kata pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu pada ciapan di Twitter hari ini.

Latheefa mengulas kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini yang memaklumkan mengenai sabitan hukuman berkenaan.

Fuzi berkata pertuduhan terhadap empat individu terbabit yang dibuat semalam kerana memuat naik komen-komen berbentuk penghinaan itu adalah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505(c) KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

“Pemilik akaun Facebook Ayea Yea dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak di bawah Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM.

“Tertuduh mengaku salah terhadap 10 pertuduhan dan telah dijatuhi hukuman 10 tahun 10 bulan penjara, yang berjalan secara berasingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Sumber: cempedakcheese.com