Hukum Keluar Bersama Bekas Isteri Dan Anak Kecil


Soalan:
Suami saya masih berjumpa dengan bekas isteri atas alasan berjumpa anak (berumur 4 tahun) dan meluangkan masa dengan anak. Mereka hanya keluar bertiga. Saya telah cadangkan untuk bawa sesiapa untuk dijadikan orang keempat di antara mereka, tetapi bekas isterinya tidak setuju, malahan saya juga tidak diizinkan untuk ikut. Bekas isteri telah mendapat hak penjagaan anak semasa penceraian mereka dahulu. Bekas isteri telah meletakkan syarat jika ingin berjumpa dengan anak hanyalah dengan ada dia dan tidak boleh membawa sesiapa termasuklah saya. Bekas isteri juga tidak mengizinkan jika hanya suami yg membawa anak untuk keluar atas alasan tidak percaya yg suami tidak membawa anaknya berjumpa dengan saya.

1) Apa hukumnya mereka masih berjumpa walaupun dengan niat meluangkan masa bersama anak?

2) Apa yang perlu saya lakukan untuk menasihati mereka?

3) Apa nasihat ustaz untuk saya tidak ada perasaan ragu ragu atau curiga terhadap suami semasa mereka berjumpa/keluar?

Jawapan:

Hukum Bekas Pasangan Suami Isteri Berjumpa

Pada asalnya, hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah sama seperti dua orang yang ajnabi (asing) berlainan jantina berjumpa. Berkenaan hukumnya, ia perlu melihat kepada keperluan. Sekiranya tidak ada keperluan, sedangkan perjumpaan membawa kepada memandang, berkhalwat, dan bercakap secara mesra antara satu sama lain, maka tidak dibenarkan. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nur: 30)

Berkata Imam Ibn Jarir al-Tobari berkenaan tafsir ayat ini: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka daripada apa yang mendatangkan syahwat pada padangan terhadapnya, daripada jenis perkara yang dilarang Allah untuk memandang kepadanya… maka itu lebih suci bagi diri mereka di sisi Allah dan lebih banyak kelebihan.” [Rujuk Jami` al-Bayan (19/154)]

Namun begitu, dalam situasi hajat dan darurat, harus sesama ajnabi itu memandang antara satu dan lain. Para ulama menggariskan beberapa panduan berkenaan hal-hal keperluan yang mengharuskan memandang:
• Meminang
• Belajar
• Berubat
• Bermuamalat
• Kesaksian dalam kes mahkamah
• Hakim meminta sumpah dan menjatuhkan hukum
[Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/50)]

Pengecualian ini berdasarkan kadar keperluan sahaja dan tidak melebihi daripada keperluan. Jika tujuannya adalah untuk berseronok-seronok, maka diharamkan. Sebahagian ulama berpendapat harus lelaki memandang wanita pada wajah dan dua tapak tangannya jika aman daripada fitnah dan tidak disertai dengan syahwat. Ini dipersetujui oleh Imam al-Bajuri. [Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 205)]

Berdasarkan fakta dan hukum di atas, kami berpendapat hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah diharuskan. Ini kerana suami masih lagi memiliki tanggungjawab terhadap anak yang berusia empat tahun itu daripada sudut memberikan nafkah dan pendidikan. Pastinya, itu akan membawa kepada hubungan muamalat yang melibatkan perjumpaan dan perbualan dengan bekas isteri yang merupakan penjaga bagi kanak-kanak tersebut. Status ibu sebagai penjaga bagi anak di bawah umur mumaiyiz sudah dinaskan di dalam hadis:

Hal ini berdasarkan hadith, Abdullah bin `Amru berkata:

أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم جاءَتْهُ امْرَأَةً، فقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي
Rasulullah SAW ditemui oleh seorang wanita dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya akulah yang mengandungkan anakku ini, susukulah yang menjadi minumannya, dan akulah penjaganya. Bapanya telah menceraikan aku dan sekarang dia ingin mengambil anakku.” Rasululllah SAW bersabda: “Kamu lebih berhak daripadanya, selagi kamu tidak berkahwin lain.” [Riwayat Abu Daud (2276)]

Justeru, berjumpa dan berbuat dengan bekas isteri bagi tujuan maslahat anak adalah diharuskan.

Adapun berkenaan dengan khalwat, maka tidak boleh mereka berkhalwat atau bersendirian kerana mereka adalah ajnabi. Wajib terdapat orang ketiga yang boleh menemani mereka sama ada mahram bagi wanita atau wanita Muslim yang terpercaya yang diyakini boleh menegah mereka daripada melakukan perzinaan. Tidak disyaratkan orang tengah tersebut adalah isteri kedua tersebut. Boleh juga sesi perjumpaan itu dibuat di khalayak ramai dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah. Hukum ini berdasarkan hadis Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
“Jangan sekali-kali seorang lelaki itu bersendirian dengan seorang perempuan melainkan terdapat bersamanya mahram.” [Riwayat al-Bukhari (5233) dan Muslim (1341)]

Dalam riwayat al-Tirmidzi (2165) daripada Ibn Umar R.Anhuma, Baginda ﷺ juga bersabda:

إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
“…melainkan antara kedua mereka ada syaitan (jika tiada mahram atau seumpamanya).”

Nasihat Kepada Mereka

Berdasarkan jawapan bagi soalan pertama, kami mencadangkan agar puan yang bertanya menasihati mereka dengan perkara berikut:
• Hendaklah mereka menjaga pergaulan mereka semata-mata untuk maslahat anak dan bukan untuk tujuan maksiat.
• Hendaklah mereka mendapatkan khidmat orang tengah yang boleh menegah mereka daripada melakukan maksiat, atau berjumpa di khalayak ramai.
• Menasihati suami agar menjalankan tugas dengan baik sebagai seorang ayah dengan menyediakan nafkah dan pendidikan sempurna kepada anaknya.
• Menasihati suami agar sentiasa berlaku jujur dan adil dalam setiap tindakan yang akan memberikan kesan kepada kedua-dua keluarga.
• Berdoa agar setiap pihak mendapat kebaikan dan hidup dalam kasih sayang dengan Allah ﷻ sekalipun selepas bercerai.

Mudah-mudahan, pesanan ini akan memberikan manfaat kepada semua.

Mengelakkan Perasaan Ragu-Ragu Dan Curiga Kepada Suami

Selain daripada nasihat yang kami sebutkan di atas, kami mengatakan bahawa kecemburuan puan dalam hal ini menandakan puan adalah normal dan kebiasaan bagi wanita. Namun, janganlah sampai kecemburuan itu menghasilkan natijah yang buruk hanya kerana prasangka. Justeru hendaklah puan bersangka baik kepada Allah ﷻ dan menyerahkan urusan diri kepada-Nya setelah kita sudah bertawakkal dan berusaha.

Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah ﷺ

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي
“Sesungguhnya Aku di sisi sangkaan hamba-Ku dengan-Ku.” [Riwayat al-Bukhari (7505) dan Muslim (2675)]

Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim (6/44): “Berkata Qodhi Iyyadh bahawa satu pendapat itu bermaksud keampunan bagi orang yang bersangka baik dengan Allah apabila dia meminta ampun, dan penerimaan apabila dia meminta taubat, dan kemustajaban doa apabila dia memohon, dan kecukupan apabila dia minta kecukupan. Pendapat lain pula mengatakan bahawa yang dikehendaki daripadanya ialah pengharapan dan impian mendapatakan keampunan, dan pendapat ini yang lebih sahih.”

Rasullullah ﷺ pernah mengajar para sahabat doa yang baik diamalkan pada waktu pagi dan petang. Anas bin Malik RA pernah mendengar Rasulullah ﷺ berpesan kepada anaknya Fatimah R.Anha akan satu doa yang dibaca pada pagi dan petang:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ، وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
“Wahai Yang Maha Hidup! Wahai Yang Maha Mentadbir! Dengan rahmat-Mu aku meminta tolong, agar engkau perbaiki bagiku akan urusanku kesemuanya, dan janganlah kiranya engkau biarkan aku uruskan diriku sendiri sekalipun dengan sekelip mata.” [Riwayat al-Nasaie (10330)]

Sebagai seorang wanita, hendaklah puan meningkatkan ketaqwaan dan serta mempersiapkan diri dengan ilmu rumahtangga yang sebenar mengikut al-Quran dan al-Sunnah berkenaan hak-hak diri sendiri, pasangan dan perkara penting yang berkaitan dengannya, seperti undang-undang keluarga Islam dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

Puan juga boleh merancang aktiviti pembangunan insan bersama dengan suami seperti menghadiri kuliah berkeluarga di pusat-pusat pengajian seperti masjid dan surau. Begitu juga dengan melakukan ibadah bersama seperti solat berjemaah, bertadarus al-Quran dan berpuasa bersama. Dengan itu, puan akan lebih banyak masa yang berkualiti dan pasti akan membekaskan memori yang positif dalam hubungan suami isteri. Pastinya ini akan menegah unsur-unsur negatif seperti sangka buruk dan hal remeh temeh, kerana rumah tangga itu telah dibina atas dasar kehambaan kepada Allah.


+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: Oh! Media https://www.ohmedia.my/