Dua batang gigi, gumpalan rambut dipercayai milik Nur Aisyah ditemui

LANGKAWI – Dua batang gigi dan dua gumpalan rambut dipercayai milik Nur Aisyah Aleya Abdullah ditemukan dalam operasi pencarian yang dilakukan pasukan polis dan bomba di kawasan gaung Gunung Raya di sini, hari ini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua penemuan tersebut dijumpai berdekatan tengkorak kepala kanak-kanak berusia tiga tahun itu pada jarak kira-kira 10 meter dari jalan raya dalam operasi berkenaan kira-kira pukul 11 pagi.

Menurutnya, gigi dan gumpalan rambut tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi proses pengesahan identiti bersama-sama tengkorak kepala yang ditemukan semalam.

“Anjing pengesan yang turut melakukan operasi mencari, berpusing-pusing di sekitar kawasan itu sebelum kita menemukan gigi dan rambut tersebut tidak jauh dari lokasi tengkorak kepala ditemukan.

“Sehubungan itu, operasi mencari akan dihentikan setakat ini kecuali ada keperluan untuk kita meneruskannya memandangkan penemuan itu sudah boleh dilakukan proses autopsi,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di sini hari ini

Semalam, mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah ditemukan di kawasan gaung Gunung Raya kira-kira pukul 11.30 pagi dalam keadaan ngeri apabila hanya tengkorak kepala dipercayai miliknya ditemukan.

Ia susulan penahanan kedua-dua suspek tersebut di sebuah inap desa di Ampang, Selangor, kelmarin yang dipercayai melarikan diri selepas ibu kanak-kanak itu membuat laporan polis ekoran anaknya hilang di rumah suspek.

Tambah Mohd. Iqbal, radius pencarian hari ini yang bermula pukul 9 pagi diperluaskan sehingga 500 meter dengan tahap kecuraman kira-kira 45 darjah yang membabitkan 31 anggota kedua-dua agensi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sampel darah milik ibu mangsa dan kedua-dua suspek turut diambil selain akan memanggil beberapa lagi saksi bagi melengkapkan siasatan.

“Malah, lima anak kandung suspek sudah dibawa ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk dirakam percakapan melalui Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com