Dr Streram sekali lagi calon PH di Rantau

KUALA LUMPUR – Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) PKR Rantau, Dr. S. Streram dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di sini hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan pemilihan itu berdasarkan konsensus Mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan pada 9 Mac lalu.

Beliau malah memberitahu, pemilihan itu juga diukur berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman kerja dan bertepatan dengan perkembangan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Dr. Streram dinafikan hak semasa PRU-14 lalu sehingga membawa kepada keputusan di mahkamah dan PRK perlu diadakan semula.

“Maka, itu juga menjadi faktor kenapa beliau dipilih di kerusi yang mempunyai majoriti 27 peratus pengundi India itu,” katanya selepas membuat pengumuman calon mewakili salah satu komponen PH di Ibu pejabat PKR di Merchant Square, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md. Akin dan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu telah membatalkan kemenangan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk kerusi DUN Rantau pada PRU-14 lalu sekali gus PRK perlu diadakan.

Sebelum ini, lebih daripada 10 nama telah dikemukakan oleh pelbagai pihak kepada Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memohon untuk dijadikan calon PRK bagi kerusi DUN Rantau tersebut. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com