Dr Mujahid kecam salah guna Himpunan Hari Wanita untuk pertahan LGBT

PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa membidas tindakan pihak tertentu menyalahgunakan himpunan hak wanita untuk membawa isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Beliau berkata ruang tunjuk perasaan sempena Hari Wanita Sedunia itu tidak patut digunakan untuk mempertahankan sesuatu yang salah di sisi undang-undang.

Mujahid bertegas amalan LGBT tidak akan diterima di Malaysia dan tidak mungkin kerajaan mengiktirafnya.

“Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga pernah menegaskan tentang perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Berhubung himpunan pagi tadi, saya serahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk bertindak dan mengambil tindakan tegas.”

Beliau mengulas perarakan “Hentikan Keganasan, Hormati Perempuan” dari kompleks beli belah Sogo hingga ke jambatan “River of Life” berdekatan Dataran Merdeka di ibu negara pagi tadi.

Perhimpunan itu didakwa disertai penyokong LGBT yang melaungkan slogan berkaitan dan membawa bendera pelangi.

Polis dilapor berkata tiada permit dikeluarkan untuk perhimpunan itu, dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman.



Sumber: cempedakcheese.com