Christchurch: Tragedi Berdarah Buat Umat Islam


Allah SWT berfirman:

وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّـهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
“Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!” [Surah al-Buruj (8)]

Orang kafir menyeksa orang beriman hanya kerana sesuatu yang tidak boleh diseksa, bahawa menjadi hak tiap-tiap orang untuk melakukannya dan mengajak orang lain mengikutinya, iaitu beriman kepada Allah SWT. Allah menyaksikan perbuatan orang kafir ke atas orang Mukmin dan Dia akan membalas seluruh perbuatan mereka. Penerangan ini mententeramkan hati orang-orang Mukmin dan memberi ancaman kepada orang-orang kafir yang berbuat makar dan bermaharalela terhadap orang Islam bahawa cukuplah Allah SWT sebagai saksi dan pelindung. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 10/300-301; Tafsir al-Munir, 15/459 dan Tafsir al-Maraghi, 15/7516)

Sehingga artikel ini ditulis, kami mendapat perkhabaran kira-kira 49 orang terbunuh dalam serangan berdarah di Masjid al-Noor, Christchurch, New Zealand manakala ramai dilaporkan mengalami cedera parah. Ini merupakan suatu perkara yang amat malang.

Peristiwa seperti ini adalah peristiwa yang cukup tragis, yang bagi kami adalah satu peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku. Oleh itu, mereka yang berada dalam masjid, kita mengharapkan mendapat syahid daripada Allah SWT. Kita mengharapkan mereka diganjarkan pahala kerana semangat mereka datang ke masjid, mengimarahkannya, berada dalam masjid dan ingin melaksanakan solat Jumaat secara berjemaah. Namun apa yang berlaku, kematian menanti mereka.

Kami menyokong kenyataan tegas Syeikhul Azhar dan ulamanya yang berkata:
“Al-Azhar al-Syarif juga menegaskan dengan setegasnya bahawa ini merupakan serangan pengganas yang telah mencemarkan kehormatan rumah Allah serta menumpahkan darah-darah yang tidak berdosa. Wajib untuk kita membunyikan penggera amaran untuk tidak bermudah-mudahan dengan pelbagai aliran pemikiran, kumpulan-kumpulan fanatik yang melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk seperti ini. Ini juga termasuk keperluan untuk ditambah usaha-usaha dalam mengukuhkan semangat perpaduan dan toleransi serta kesepakatan yang positif sesama masyarakat yang satu tanpa kita memandang kepada agama-agama dan budaya masing-masing.”

Yakin dan percayalah bahawa tindakan seperti itu adalah satu tindakan yang benar-benar menggusarkan. Ia seolah-olah menyimbah minyak kepada api bagi siri-siri penindasan terhadap umat Islam. Umat Islam sudah tentu akan merasa sedih yang amat sangat di atas tindakan oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab ini. Semoga Allah SWT akan membalas tindakan mereka.

Kita merasa amat kesal serta merasa amat dukacita di atas apa yang berlaku. Saya percaya mereka yang terkorban ini termasuk dalam apa yang disebut oleh nas:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” [Surah al-Taubah (18)]

Mereka menghadap Allah dalam keadaan berwudhu’, dalam keadaan di dalam rumah Allah, pada hari Jumaat yang penuh dengan keberkatan – kesemuanya itu terangkum kebaikan demi kebaikan, mati dalam husnul khatimah. Kita mengharapkan mereka diganjarkan balasan yang sebaiknya di sisi Allah SWT, ditempatkan mereka sebagaimana yang disebut:

فَأُولَـٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَـٰئِكَ رَفِيقًا
“Maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).” [Surah al-Nisa’ (69)]

Marilah kita berdoa kepada Allah supaya api-api fitnah seperti ini dapat dipadamkan. Umat Islam hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan agamanya, menginsafi dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Maka insha Allah, sinar kebahagiaan ummah dalam keadaan perpaduan yang utuh, dalam keadaan kesatuan yang cukup kuat akan menatijahkan kebaikan dan kebahagiaan kepada umat ini.

Firman Allah SWT:

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
“Dan orang-orang itupun merancangkan tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.” [Surah Ali Imran (54)]

Allah SWT turut berfirman:

وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّـهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ
“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).” [Surah Ibrahim (42)]

Semoga kabus hitam berarak lalu dan cahaya kebahagiaan menanti kita. Amin.


+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: Oh! Media