Bayi 4 bulan meninggal dunia di taska

IPOH – Seorang bapa terkilan dengan tindakan pengasuh yang lewat memaklumkan keadaan bayi lelakinya berusia empat bulan sudah lemah selepas dihantar ke taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di Bandar Seri Botani di sini, semalam.

Difahamkan, Muhammad Aakif Iskandar Meor Ikram, yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 6.55 petang.

Meor Ikram Addnan, 32, berkata, Meor Aakif Iskandar baru sebulan dihantar ke taska itu selepas isterinya, Ismahani Zainal Abidin, 30, selesai berpantang manakala anak keduanya juga dihantar ke taska sama sejak setahun lalu.

Katanya, ketika kejadian beliau baru saja pulang daripada mengambil anak keduanya yang dimasukkan ke wad HRPB sejak tiga hari lalu kerana menghidap penyakit asma sebelum menerima panggilan daripada pengasuh pusat asuhan berkenaan.

“Mereka memaklumkan anak dalam keadaan lembik dan tidak bermaya kira-kira jam 6 petang. Saya ada bertanyakan kepada pengasuh macam mana boleh jadi sampai macam ini, namun mereka tidak cakap apa-apa, tidak ada jawapan.

“Rasa terkilan kenapa anak dah teruk baru hendak beritahu sedangkan mereka (pengasuh) telefon kami pada jam 6 petang, waktu memang saya selalu ambil anak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB di sini, hari ini.

Meor Ikram berkata, sebelum menghantar anak bongsunya ke taska berkenaan pagi semalam, bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat namun hidungnya sedikit berair akibat selesema.

“Sepanjang saya menghantar kedua-dua anak saya ke taska berkenaan termasuk anak kedua sejak setahun lalu, saya periksa mereka dan memang tiada sebarang kesan lebam,” katanya.

Meor Ikram berkata, Muhammad Aakif Iskandar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Larang, di sini selepas solat Zuhur hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.



Sumber: cempedakcheese.com