Bangga mengaku Muslim, pegawai polis New Zealand ini kutuk serangan pengganas di Christchurch

PEGAWAI polis beragama Islam yang berpangkat tertinggi di New Zealand menahan tangisan ketika berkongsi mesej untuk mangsa tragedi tembakan di Christchurch.

Bercakap di pusat bandar Aotea Square di Auckland, Supritendan Naila Hassan memberitahu orang ramai bahawa dia bangga bergelar seorang Muslim dan menjadi seorang ketua polis di New Zealand.

“Ini adalah pesanan berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan saudara kita dan komuniti di sekitar New Zealand.

“Saya tahu ini bukan sahaja masa yang sangat menyedihkan bagi komuniti Islam khususnya, tetapi kepada semua orang dalam komuniti kita.

“Kami mahu meyakinkan semua orang bahawa kami melakukan segala yang terdaya untuk memastikan mangsa serangan yang dahsyat ini diperlakukan dengan penuh rasa hormat,” kata Naila.

Naila berkata jumlah polis di sekitar masjid dan pusat Islam di seluruh negara telah ditingkatkan.

“Saya terkejut sama seperti semua rakan sekerja saya di Polis New Zealand, tentang apa yang berlaku di Christchurch,” ujarnya.



Sumber: cempedakcheese.com