Azizulhasni Awang Terkilan Tidak Dapat Ulang Kejayaan 10 Tahun Lepas

Gambar: @azizulawangofficial

Nampaknya hasrat The Pocketrocket Man, pelumba trek negara Azizulhasni Awang bagi mengulangi kejayaannya pada 10 tahun lepas di Poland tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan kelayakan acara pecut di Kejohanan Dunia.

Azizul dilihat amat terkilan apabila hanya sekadar menduduki tangga ke-30 daripada 34 pelumba dengan hanya mencatat masa 10.022 saat.

Sebelum itu, Azizul telah terlibat dengan satu kemalangan ketika acara keirin semalam dan ia telah memberi kesan kepada kayuhannya.

"Sejujurnya memang terkilan, tetapi setakat itu sahaja yang mampu saya berikan dengan keadaan kondisi badan, selepas terlibat di dalam kemalangan semalam.

"Seperti biasa, selepas tamat kejohanan besar saya dan pasukan, akan duduk semeja melakukan post-mortem dan memperbaiki mana-mana ruang yang perlu, dan merencana perancangan untuk musim hadapan," katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook awal pagi ini.

"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia khususnya yang sentiasa menyokong dan mendoakan saya dan pasukan.

"Kalah sekali bukan bermaksud kalah selamanya, yang penting kita terus mencuba dan bangkit dari kekalahan ini. Insyaallah," katanya.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Sumber: Oh! Media