Al-Ala’ Al-Hadrami Dan Karamahnya


Soalan:
Saya dengar seorang sahabat Nabi SAW bernama Ala’ al-Hadrami mempunyai banyak karamah. Boleh ceritakannya?

Jawapan:
Imam al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ menyebut: “Nama beliau ialah al-Ala’ bin ‘Abdilah bin ‘Imad bin Akbar bin Rabi’ah bin Muqanna’ bin Hadhramaut. Beliau termasuk dari kalangan sekutu kuat Bani Umayyah dan juga antara pemimpin golongan Muhajirin. Saudaranya bernama Maimun bin al-Hadrami, di mana kepadanya dinisbahkan telaga Maimun yang terletak di tanah tinggi Mekah. Ia telah digali sebelum Rasulullah SAW dibangkitkan lagi.

Dua orang saudaranya yang lain, iaitu Amru dan Amir, telah dilantik oleh Rasulullah SAW menjadi gabenor di Bahrain. Jawatan tersebut terus dikekalkan pada zaman Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Ada pendapat yang menyebut bahawa Saidina Umar telah mengutusnya untuk menjadi gabenor di Basrah. Akan tetapi belum sempat tiba di Basrah, beliau telah meninggal dunia.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 1/255. Lihat juga al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/445)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: “Al-Ala’ turut meriwayatkan hadis daripada Nabi SAW. Antara para sahabat yang meriwayatkan daripada beliau ialah al-Sa’ib bin Yazid dan Abu Hurairah R.A. Beliau dikatakan seorang yang mustajab doanya. Beliau dapat merentasi lautan dengan membaca beberapa doa. Kisah seperti ini masyhur di dalam kitab-kitab berkenaan pembukaan dan penyebaran Islam.” (Lihat al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/445)

Karamah al-Ala’ dan Pasukannya Diturunkan Air

Dalam satu peperangan memerangi kaum murtad di Bahrain, terjadi satu karamah. Ketika al-‘Ala al-Hadrami dan tenteranya berhenti di suatu tempat di malam hari, tiba-tiba unta mereka menjadi liar dan lari membawa seluruh bekalan termasuk makanan dan minuman. Tiada seekor unta pun yang dapat mereka kejar. Ketika itu perasaan gelisah dan sedih mula menyelubungi sehingga ada yang telah mula berwasiat antara satu sama lain sementera menunggu saat kematian.

Lantas al-Ala’ memanggil dan mengumpulkan mereka, lalu beliau memberikan ucapan: “Wahai hadirin sekalian, bukankah kamu semua orang Islam? Bukankah kamu sedang berperang di jalan Allah? Bukankah kamu penolong agama Allah?” Mereka menjawab: “Ya, benar!” Beliau menyambung: “Demi Allah, bergembiralah! Sesungguhnya Dia tidak akan menghinakan kamu.”

Setelah masuk waktu Subuh, al-Ala’ solat Subuh bersama para tenteranya. Selesai solat, dia mengangkat tangan berdoa bersama para tenteranya. Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menyebut, antara doa yang dibaca oleh al-Ala’ ialah:

يَا عَلِيمُ، يَا حَلِيمُ، يَا عَلِيُّ، يَا عَظِيمُ، إِنَّا عَبِيدُكَ، وَفِي سَبِيلِكَ نُقَاتِلُ عَدُوَّكَ، اسْقِنَا غَيْثًا نَشْرَبُ مِنْهُ وَنَتَوَضَّأُ
“Wahai Yang Maha Mengetahui, wahai Yang Maha Lembut, wahai Yang Maha Tinggi, wahai Yang Maha Agung. Sesungguhnya kami adalah para hamba-Mu. Pada jalan-Mu kami memerangi musuh-Mu. Turunkanlah kami air yang dengannya kami dapat minum dan berwuduk.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/53)

Tiba-tiba Allah SWT ciptakan berdekatan tempat mereka sebuah kolam yang dipenuhi air. Maka al-Ala’ dan pasukannya pun mendatangi tempat tersebut, mereka minum dan mandi dengannya. Setelah matahari meninggi, semua unta mereka kembali dari segenap penjuru dengan bekalnya sekali. Lalu mereka memberi minum pula unta-unta tersebut. (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 1/376)

Inilah karamah yang telah disaksikan oleh orang ramai dan ia sekaligus merupakan tanda kebesaran Allah SWT bagi al-Ala’ al-Hadrami dan pasukannya.

Karamah al-Ala’ Dapat Melintasi Laut

Daripada ‘Urwah, katanya: “Abu Bakar al-Siddiq R.A telah mengutuskan al-Ala’ memimpin pasukan tentera ke Bahrain kerana mereka telah murtad. Al-Ala’ lalu datang kepada mereka sedangkan ia dipisahkan dengan laut, iaitu al-Raqraq. Walaubagaimanapun mereka dapat merentasinya dengan berjalan melintasi dengan kaki mereka secara mengarung dalam air. Sedangkan tempat tersebut biasanya dilintasi dengan menggunakan kapal-kapal. Akhirnya al-Ala’ berjaya memerangi mereka dan Allah SWT telah memberi kemenangan kepada al-Ala’ dan pasukannya. Penduduk Bahrain kemudiannya kembali membayar semula zakat.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 1/226)

Abu Hurairah R.A pernah berkata: “Aku telah melihat tiga perkara daripada al-Ala’ yang aku cintai selamanya, iaitu:

  • Beliau pernah menyeberangi lautan dengan menunggang kudanya pada hari peperangan Darin (sebuah wilayah di Bahrain).
  • Beliau bergerak menuju Bahrain, lalu berdoa kepada Allah di tanah gersang sehingga mereka pun diberi air dari sumber yang boleh diminum, lalu orang ramai pun meminumnya sehingga puas.
  • Beliau wafat ketika kami tidak memiliki air. Maka dengan izin Allah SWT, tiba-tiba awan mendung pun muncul, lalu hujan pun turun. Kemudian kami pun memandikan beliau dan membuat liang lahad untuk beliau dengan pedang kami lalu mengebumikannya.” (Lihat Siyar A’lam an-Nubala’, 1/266)

Al-Ala’ al-Hadrami dikatakan sebagai orang Islam pertama yang merentasi lautan dalam misi peperangan. (Lihat Tahzib al-Asma', 1/341, al-Isobah, 4/541)

Al-Ala’ al-Hadrami meninggal dunia pada tahun ke-14 Hijrah. Ada juga pendapat menyebut pada tahun ke-21 Hijrah. (Lihat al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/445)

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media