Adakah Guan Eng isytihar perang terhadap orang Melayu?

KUALA TERENGGANU – Tindakan Lim Guan Eng yang ‘panas’ di sebalik kerjasama UMNO dan Pas menimbulkan persoalan adakah Setiausaha Agung DAP itu sebenarnya yang sedang ‘mengisytiharkan perang’ terhadap orang Melayu.

Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd. Nor Hamzah pelik bagaimana Guan Eng boleh mendakwa penyatuan ummah kedua-dua parti Melayu itu sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu, sedangkan, UMNO dan Pas tidak melakukan sebarang bentuk serangan terhadap golongan berkenaan.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, UMNO dan Pas sangat menghormati masyarakat bukan Islam dan tidak mempunyai masalah dengan mereka yang baik, bersedia berdamai serta bersedia hidup di bawah Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

“Kita menentang DAP yang mahu berkuasa dalam negara ini, kita bukan menentang masyarakat bukan Islam.

“DAP ada ideologi, pegangan dan hala tuju yang berbeza dengan masyarakat bukan Islam. Saya yakin dengan perkembangan politik hari ini ada dalam kalangan orang bukan Islam yang mulai sedar mereka ‘dikencing’ DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Sijil Tauliah Penyembelih di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di sini hari ini.

Sebuah portal semalam memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Bagaimanapun, Guan Eng selepas itu telah mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com