Umur cecah 100 tahun, ini rahsia Tok Mun kekal cergas setiap hari

TAHUN ini usianya genap 100 tahun namun bagi Maimun Yusof atau lebih dikenali Tok Mun, ia bukan halangan untuk dia melakukan pelbagai aktiviti menguruskan kehidupannya.

Berbeza dengan warga emas lain yang kebanyakannya sudah uzur, Tok Mun masih mampu berjalan jauh untuk berurusan secara sendiri di bank yang terletak di Kuala Terengganu walaupun tinggal agak jauh di Kampung Atas Tol di sini.

Dia juga tidak kelihatan penat berjalan kaki ke sana ke mari di dalam kawasan bandar.

“Memang tok dah biasa pergi bank atau hospital sendiri, cuma minta bantuan ‘drebar’ (pemandu) ke bandar, tok wi (beri) 20 riyal (RM20),” katanya ditemui di sebuah warung di Jalan Pejabat di sini baru-baru ini.

Ditanya rahsianya kekal cergas dan mempunyai ingatan baik walaupun sudah mencecah usia satu abad, Tok Mun berkata, setiap hari dia sentiasa aktif melakukan pelbagai kegiatan contohnya mengemas rumah dan membaca al-Quran.

“Tak ada rahsia sangat, cuma buat kerja sokmo (selalu) sapu, kemas rumah dan mengaji.

“Cuma sekarang telinga tok tak berapa elok, kena cakap kuat baru boleh dengar,” katanya yang kini tinggal sebatang kara selepas anak lelaki tunggalnya meninggal dunia dua bulan lalu.

Ketika diuji sama ada dia tahu siapa Perdana Menteri sekarang, dengan pantas Tok Mun menjawab Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dia (Dr Mahathir) jadi semula (Perdana Menteri) lepas menang pilihan raya baru ni kan, ganti Najib (Datuk Seri Najib Razak),” katanya.

Nama Tok Mun mula menjadi bualan apabila dia muncul sebagai calon tertua bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008, pada usia 89 tahun.

Dia sekali lagi bertanding atas tiket Bebas pada PRU-13, namun seperti PRU sebelum itu, warga emas itu hilang wang pertaruhan.

“Tok tak menyesal bertanding walaupun kalah dan hilang wang pertaruhan,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com