HULU LANGAT – Kerajaan Negeri Selangor akan mengumumkan satu projek besar untuk penduduk Semenyih tidak lama lagi.
Pengumuman itu adalah sebagai komitmen kerajaan negeri terhadap kesejahteraan penduduk di sini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pengumuman itu bagaimanapun tidak boleh dilakukan sekarang bagi menjaga etika pilihan raya.
Katanya, sepatutnya pengumuman itu dilakukan pada minggu lalu, tetapi bertembung dengan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.
“Tunggu announcement (pengumuman). Saya tak nak nanti ada orang kata ada kaitan dengan pilihan raya.
“Sepatutnya memang minggu lepas, tetapi kita tak boleh teruskan sebab kita nak jaga etika dan perilaku kita ketika kempen. Ia berkenaan rakyat yang mampu memiliki rumah yang selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran agenda Aiman4Semenyih di Pangsapuri Bandar Rinching di sini malam tadi.
Tambah Amirudin, Semenyih tidak pernah terkeluar daripada senarai perancangan pembangunan kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan untuk membawa kemudahan bas percuma Smart Selangor ke Semenyih bagi memastikan sistem perhubungan di sini lebih sistematik dan cekap.
Ketika ditanya mengenai masalah masyarakat Orang Asli di Semenyih, Amirudin memberitahu, pihaknya berusaha untuk menanganinya.
Jelasnya, masalah utama Orang Asli di sini adalah tentang penggazetan kawasan-kawasan rayau dan tempat tinggal mereka.
Namun, katanya, ia bukan perkara mudah untuk ditangani.
“Ada sebahagiannya bersilang atau bertindih dengan beberapa agensi dan syarikat-syarikat sebelumnya. Ia bukan perkara yang mudah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Sumber: cempedakcheese.com