Ratu Skuasy negara, Datuk Nicol David yang juga juara dunia lapan kali, mengumumkan akan menamatkan kariernya selepas hampir 27 tahun dalam arena ini.
"Ini adalah saat di mana setiap atlet perlu lalui - untuk meneroka apa yang boleh dilakukan. Saya kini berada di tahap di mana saya bersedia untuk melakukan lebih daripada jelajah profesional. Keputusan ini sudah saya fikirkan untuk beberapa waktu dan saya tahu ini adalah musim terakhir saya.
"Fikiran dan badan saya sudah bertarung untuk terus kekal berada di puncak permainan buat masa yang lama, yang membuatkan saya rasa ini adalah musim terakhir saya boleh melakukan sehabis baik sebelum saya melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan," katanya dalam satu kenyataan.
Nicol yang berumur 36 tahun pada Ogos ini, bermain skuasy seawal lima tahun dan memulakan karier sebagai pemain pada 1992 apabila merangkul pingat perak dalam Kejohanan Remaja Pulau Pinang.
Beliau merangkul gelaran dunia pertama tujuh tahun kemudian pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium ketika berusia 15 tahun.
Sumber: Oh! Media