KLANG – Seorang penganggur diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam dua kejadian meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang, di sini minggu lalu.
Lelaki berusia 37 tahun ditahan kira-kira pukul 6.15 petang semalam di rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari surau tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan mengaku pernah belajar ilmu agama yang salah (gila isim) di negara jiran.
Menurutnya, suspek turut mengaku melakukan kedua-dua perbuatan tersebut iaitu meletakkan patung berhala di surau berkenaan pada Rabu dan Sabtu lalu.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek ketika berada di rumah keluarganya itu memberitahu dia sering bermimpi melihat Kaabah yang dikelilingi patung berhala.
“Susulan mimpi itu, suspek percaya dia perlu melakukan perkara yang sama di surau itu lalu telah meletakkan sebuah patung Datuk Gong pada Rabu lalu dan dua lagi patung berhala kecil pada Sabtu kononnya bagi mengajak penganut agama tersebut untuk melakukan ibadah di surau itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Shamsul Amar, siasatan juga mendapati patung-patung tersebut telah dicuri dari sebuah tokong kecil serta diambil dari tempat pembuangan sampah.
“Kita tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai masalah mental dan semakan rekod mendapati suspek ini mempunyai dua rekod jenayah lampau.
“Justeru kita menolak sama sekali kejadian yang berlaku ini adalah perbuatan individu atau berkumpulan untuk mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama. Kejadian juga tiada kaitan dengan isu hubungan antara kaum dan agama,” tegasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, kariah Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah dekat sini sekali lagi digemparkan dengan penemuan dua buah patung berhala yang diletakkan di atas pagar utama pintu masuk surau berkenaan, Sabtu lalu.
Dua patung berhala itu ditemui oleh kariah surau kira-kira pukul 2.45 petang sebelum dimaklumkan kepada ahli jawatankuasa (AJK) surau berkenaan.
Penemuan dua patung itu adalah kejadian kali kedua selepas penemuan pertama pada Rabu lalu disurau berkenaan. – K! ONLINE
Sumber: cempedakcheese.com