Pelajar pondok maut kemalangan di LPT2

KEMAMAN – Seorang pelajar di pusat pengajian pondok maut setelah motosikal yang ditunggangi terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 295.8 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) berhampiran Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Kijal awal pagi tadi.

Dalam nahas pukul 4.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Yaacob, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Muhammad merupakan pelajar sebuah pusat pengajian pondok moden dan tinggal di alamat di Kampung Gong Nyatoh Telong, Bachok, Kelantan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan.

Beliau menjelaskan, pada masa sama, sebuah kereta di belakang mangsa gagal mengelak lalu merempuh mangsa menyebabkannya cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sewaktu kemalangan berlaku, motosikal jenis Yamaha 135 LC dan kereta jenis Peugeot dalam perjalanan dari arah yang sama iaitu dari Kuantan ke Kuala Terengganu.

“Bagaimanapun pemandu kereta tersebut yang merupakan seorang eksekutif di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) berusia 33 tahun dan berasal dari Kedah tidak cedera,” ujarnya.

Mohd. Said berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Sumber: cempedakcheese.com