Mujahid mahu saman pihak fitnah TH dikawal DAP

HULU LANGAT: Mana-mana pihak yang memfitnah Lembaga Tabung Haji (TH) dengan menuduh institusi itu kini di bawah cengkaman DAP pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, akan dikenakan tindakan undang-undang.

Amaran itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang bertegas tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengelirukan orang Islam dengan fitnah semata-mata untuk meraih undi.

Beliau yakin tindakan saman itu akan berpihak kepadanya, berdasarkan kemenangannya dalam satu kes saman terhadap seorang ahli akademik yang memfitnahnya sebagai ‘kuda tunggangan DAP terbaik’ sebelum ini.

“Sekarang mereka berleluasa, khususnya di kempen ini, membawa pembohongan kononnya TH sekarang di bawah DAP, menteri agama tunduk kepada kehendak DAP.

“Mereka jangan lupa kes saman terhadap seorang profesor yang mendakwa saya kuda tunggangan kuda DAP terbaik, yang saya menang dalam kes itu dan dia mohon maaf serta tarik balik artikel.

“Dalam kempen PRK ini, mereka kata kita ikut kehendak DAP dan TH dijadikan contoh. Ini bahaya, jangan sampai tahap kita saman dakwaan ini yang jelas berbaur fitnah dan langsung tidak membantu nasib 9.7 juta pendeposit (TH),” katanya ketika ditemui pada program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kantan Permai, Kajang di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Mujahid mengemukakan saman fitnah terhadap bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff yang menulis artikel bertajuk ‘Dr Mujahid antara kuda tunggangan terbaik DAP’, yang dimuat naik di Facebook peribadinya pada 25 Mei 2017.

Pada 21 November tahun lalu, kes saman itu diselesaikan di luar mahkamah apabila Kamarul Zaman bersetuju untuk memohon maaf dan menarik balik artikel berkenaan.

Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), menegaskan TH kekal di bawah pentadbirannya selaku menteri yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal agama Islam, dan dakwaan yang mengaitkan TH dengan DAP adalah pembohongan besar.

Beliau turut memberi jaminan subsidi untuk bakal haji yang membuat rayuan, akan dikekalkan, namun pihaknya sedang memutuskan mekanisme pelaksanaannya, yang akan dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, minggu ini.

Terdahulu, lebih 100 penduduk sekitar Kantan Permai hadir pada ceramah kelompok itu yang membariskan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Calon PH bagi PRK DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali turut sempat singgah sebentar ke program itu dan berjanji untuk cuba menyelesaikan isu di Kantan Permai seperti peningkatan kes jenayah dan menambah baik infrastruktur, jika menang pada 2 Mac depan.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.



Sumber: cempedakcheese.com