Soalan:
Apakah cara yang terbaik untuk berbuat baik pada warga emas?
Jawapan:
Menghormati Dan Mengasihi Mereka
Islam mengajar umatnya untuk berbuat baik kepada orang yang lebih dewasa. Ini seperti hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A. bahawa telah datang seorang tua kepada Nabi S.A.W, dan orang ramai melambatkan pergerakan untuk memberikan ruang kepadanya. Lalu Baginda S.A.W bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا
“Bukanlah daripada golongan kami barangsiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa.” (Riwayat Tirmidzi: 1919)
Al-Munawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyatakan: “Sesungguhnya kedua-duanya perbuatan itu merupakan satu perintah yang wajib diletakkan pada hak dan tempatnya. Ini seperti yang dewasa mengasihi dan menyayangi yang muda begitu juga sebaliknya yang muda menghormati dan memuliakan yang dewasa.” (Rujuk: Faid Al-Qadir Syarah Al-Jamie’ Al-Soghir:5/388)
Mubarakfuri di dalam kitabnya menyatakan (وَيُوَقِّرْ) iaitu menghormati dan ini termasuk juga para pemuda dan juga orang tua. (Rujuk: Tuhfatul Al-Ahwazi: 6/40)
Ibnu Abi Dunya menceritakan di dalam karyanya berkenaan kisah tabi’in bahawa mereka saling menghormati di antara satu sama lain. Diceritakan daripada Talhah bin Musharrif, ketika beliau berjalan bersama Malik bin Mighwal, sewaktu sampainya di satu laluan yang sempit, maka beliau mendahuluiku, lalu beliau berkata:
لَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ أَنَّكَ أَكْبَرُ مِنِّيِ بِيَوْمٍ مَا تَقَدَّمْتُك
“Sekiranya aku tahu bahawa kamu lebih tua satu hari daripadaku maka aku tidak akan mendahuluimu.” (Rujuk: Makarimal Al-Akhlak Li Ibnu Abi Dunya: 1/93)
Membantu Dan Memudahkan Kerja Mereka
Membantu di dalam perkara kebaikan merupakan satu perkara yang dituntut oleh syariat ini seperti firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Maidah: 2)
Baginda S.A.W dalam menyeru agar umatnya sentiasa mambantu dan memudahkan urusan orang lain agar dipermudahkan urusan di hari akhirat kelak. Ini seperti hadis daripada Abi Hurairah R.A sabda Nabi S.A.W:
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ
“Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat.” (Rujuk: 40 Hadis Imam Nawawi: 36)
Imam Ibnu Daqiq Al-A’id mensyarahkan hadis ini di dalam kitabnya menyatakan: “Pelbagai jenis ilmu dan kaedah yang terdapat di dalam hadis ini tentang kelebihan menunaikan hajat seseorang. Ia juga termasuk di dalam mempermudahkan urusan dalam menuntut ilmu, harta, nasihat dan lain-lain.” (Rujuk: Syarah Al-Arbain Al-Nawawi Li Ibnu Daqiq Al-A’id: 1/119)
Kesimpulan
Kesimpulan bagi persoalan di atas terdapat pelbagai cara untuk kita berbuat baik kepada golongan warga emas, di antara perkara yang boleh dilakukan seperti berikut:
1. Memudahkan segala urusan harian seperti mambantu mereka dalam melakukan amal ibadat, ini termasuk di dalam hadis Baginda S.A.W seperti yang di atas.
2. Menghormati dan mengasihi mereka seperti menjaga adab dan tingkah laku ketika bersama mereka.
3. Sentiasa mengutamakan mereka dari segala urusan duniawi ini seperti hadis daripada Ibnu Umar R.A sabda Nabi S.A.W
أَمَرَنِي جِبْرِيلُ أَنْ أُقَدِّمَ الأَكَابِرَ
“Jibril A.S memerintahkan kepadaku supaya mengutamakan yang dewasa.” (Riwayat Ahmad: 6226)
4. Sentiasa mendoakan kebaikan terhadap mereka dan ini seperti saranan Baginda S.A.W hadis daripada Abi Darda’ R.A bahawa Rasullullah S.A.W bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan).” (Riwayat Muslim: 4912)
5. Menjaga kebajikan mereka ketika mereka sakit terutamanya perkara yang bersangkut dengan ibadah.
Berbuat baik dan berakhlak mulia terhadap warga emas merupakan satu tuntutan agama kepada kita dan patut berada di dalam diri untuk dijadikan sebagai tauladan kepada semua masyarakat. Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T telah mengakui bahawa Baginda S.A.W adalah merupakan contoh teladan yang terbaik untuk diikuti sebagaimana firman-Nya:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (Surah Al-Ahzab: 21)
Wallahua'lam.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: Oh! Media