Liga Super: Terengganu raih kemenangan sulung

CHERAS: Pertahanan Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic melunaskan ‘hutangnya’ apabila jaringan tunggalnya membolehkan TFC menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), sebentar tadi.

Selepas jaringan sendirinya di minit akhir pada pentas final Piala Malaysia tahun lalu membolehkan Perak mengheret perlawanan ke sepakan penentuan penalti, pertahanan Montenegro itu menebus kembali kesilapannya dengan jaringan tunggal yang membolehkan skuad Penyu meraih tiga mata dan merakam kemenangan pertama mereka musim ini.

Skuad The Hawks pula terus tercari cari kemenangan pertama musim ini namun hanya dibolosi satu gol, persembahan terbabit nyata jauh lebih baik berbanding dua aksi terdahulu yang menyaksikan mereka dibolosi dengan tujuh gol.

Bagaimanapun, aksi bermula lewat apabila sepak mula hanya dilakukan pada jam 9.35 malam selepas ditangguhkan lebih setengah jam susulan masalah teknikal lampu limpah.

Peluang pertama tuan rumah hadir seawal minit keenam namun tindakan Zhafri Yahya yang melakukan percubaan sendiri daripada melakukan hantaran, gagal apabila sepakannya tersasar sebelum tandukan Sylvano Comvalius sedikit tinggi melewati palang pada minit ke-28.

Terengganu turut beroleh peluang terbaik menerusi Abdul Malik Mat Ariff yang berdepan situasi satu lawan satu dengan Mohd Sharbinee Alawee tetapi gagal apabila Sharbinee tenang menyelamatkan percubaannyapada minit ke-29.

Comvalius sekali lagi mensia-siakan peluang untuk mencetak gol pembukaan meskipun hanya berdepan Mohd Suffian Rahman apabila sentuhannya gagal dikawal dengan baik dan bola mudah ditangkap penjaga gol TFC itu.

Babak kedua bersambung, Terengganu seharusnya mendahului pada minit ke-49 namun Abdul Malik yang terlepas peluang pada babak pertama sekali lagi kecewa apabila tampanannya betul betul di hadapan gawang Kuala Lumpur melambung tinggi.

Memasuki sejam perlawanan, stadium akhirnya gamat dengan sorakan penyokong pelawat selepas Zonjic menanduk masuk gol kemenangan hasil sepakan sudut pada minit ke-68 sekali gus membolehkan TFC lega dengan mata penuh yang dibawa pulang ke Kuala Terengganu.



Sumber: cempedakcheese.com