KUALA TERENGGANU: Penjaga gol muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Ilham Amirullah Razali sedia berdepan 'peluru' daripada penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi ketiga saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.
Bekas penjaga gol Negeri Sembilan musim lalu kelahiran Dungun yang lebih mesra dipanggil Ang berkata, dia tidak gentar dengan reputasi skuad Harimau Selatan itu sebaliknya teruja biar pun skuad bimbingan Luciano Figueroa itu dibarisi pemain handal belaka.
“Jika diberi tugas sebagai penjaga gol utama oleh jurulatih bertemu JDT nanti, saya sudah bersedia memikul amanah itu dengan sebaik mungkin sebagaimana ketika turun sebagai pemain gantian bertemu Pahang Sabtu lalu.
“Selain tidak mahu pintu gol dibolosi oleh penyerang skuad JDT itu, saya berazam untuk membantu pasukan mencatat kemenangan pertama dalam saingan liga kerana sasaran kami adalah tiga mata di tempat sendiri.
“Walaupun misi itu diakui perit memandangkan skuad JDT memiliki motivasi tinggi selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut, tapi dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku dan TFC sudah buktikan pada musim lalu,” kata Ilham yang menagih peranan itu.
Berdasarkan rekod musim lalu, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu tewas 0-1 di laman sendiri dalam aksi Liga Super, namun dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia, TFC membalas dendam dengan kemenangan 1-0 di Kuala Terengganu hasil jaringan Malik Matt Ariff
Begitupun di lantas menepis dakwaan berasa gugup ketika berdepan penyerang skuad Tok Gajah sebelum pasukannya tewas 0-3 tempoh hari.
“Saya masih OK, tidak gugup, lagipun pengalaman yang dikutip ketika menyarung jersi pasukan T-Team, FELDA United dan Harimau Muda begitu berharga serta bermakna buat saya untuk beraksi lebih baik di benteng terakhir,” kata pemain berusia 25 tahun yang baru menamatkan zaman bujangnya, baru-baru ini. - Berita Harian