Kontena Mengandungi Rokok Seludup RM8.67 Juta Dibongkar


Dua buah kontena yang dikatakan membawa mi segera terbongkar apabila hasil pemeriksaan pihak berkuasa menjumpai rokok putih dengan nilai melebihi RM8.67 juta termasuk cukai yang berada di pelabuhan Baram, Miri.

Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, Pengarah Kastam Sarawak mengesahkan perkara ini yang dipercayai diimport dari Vietnam dan dibawa masuk melalui Pelabuhan Bintulu dan dipindahkan untuk di bawa ke Miri.


“Hasil pemeriksaan dua kontena itu, pihak kami menjumpai 71,750 karton rokok putih pelbagai jenama yang bersamaan 13.03 juta batang rokok.

“Selain itu, 2,036 kilogram mi segera turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

“Pengimport juga menggunakan nama syarikat yang diragui kewujudannya dengan membawa masuk dagangan import,” katanya.


Sumber: Oh! Media