SEMENYIH – Kereta salah seorang pembantu calon BN, Zakaria Hanafi disimbah cat berwarna kelabu ketika mereka sedang berkempen di Kampung Rinching Hulu, di sini, malam tadi.
Berdasarkan gambar yang tular dalam laman sosial, bahagian hadapan kereta jenis Mercedes Benz itu dilihat dipenuhi cat sampai ke bahagian cermin.
Menurut Zakaria, tindakan sebegitu memunjukkan lawannya berasa terancam dan tercabar dengan kempen BN di PRK DUN Semenyih.
“Kalian hendak tahu apa feedback (tindak balas) saya selepas kejadian ini?
“Saya tetap akan berkempen. Sedikit pun saya tidak terkesan dengan kejadian ini apatah lagi melemahkan saya.
“Ini hanya petanda yang menunjukkan anda tercabar dan terancam. Benarkah?“ soal beliau menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.
Bahkan, Zakaria turut menegaskan tindakan sebegitu hanya akan menyemarakkan semangat jentera BN berkempen di Semenyih.
“Jika benar (rasa terancam), sediakan lebih banyak cat kerana tindakan ini hanya akan menyemarakkan lagi jentera BN yang akan membantu saya berkempen di sini,” tegasnya.
Begitupun, Zakaria mengakui beliau berasa sedikit sedih dengan apa berlaku malam ini.
“Cuma saya berasa sedikit sedih kerana orang kita akhlaknya bukan begini. Tidak sepatutnya begini,” ujarnya.
Difahamkan, wakil BN akan membuat laporan polis pada malam ini juga berhubung kes tersebut.
Beberapa gambar dan video kereta tersebut kini tular dalam laman sosial dan ramai pihak dilihat mengecam tindakan itu.
Diharapkan, kempen PRK DUN Semenyih berjalan lancar tanpa sebarang provokasi selepas ini.
Sumber: cempedakcheese.com