“ITU cadangan sahaja,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkaitan penghapusan kadar tol pada waktu luar puncak 11 malam hingga 5 pagi.
Beliau berkata, perkara yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri itu belum lagi dimuktamadkan.
Katanya, semua cadangan akan diteliti dan semuanya akan dimuktamadkan oleh pemegang taruh termasuk Gamuda Berhad.
“Kita perlu perhalusi kesan pengambilalihan tol kerana untuk mengambil alih syarikat konsesi memerlukan kajian yang menyeluruh.
“Saya ada pengalaman di Selangor ketika mengambil alih syarikat konsesi air dan ia mengambil masa yang lama tapi perancangan harus bermula, apabila sudah muktamad, kita akan umumkan,” katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Kampung Pasir Baru, Semenyih, hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memaklumkan, kerajaan sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda untuk mengambil alih konsesi lebuh raya yang syarikat berkenaan mempunyai pegangan majoriti.
Keajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol lebuh raya dan sebagai ganti, caj kesesakan diperkenalkan pada waktu puncak selama enam sejam sehari.
Selain itu, kadar tol dihapuskan sama sekali antara 11 malam hingga 5 pagi dan pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.
Menurut kenyataan itu lagi, ia membabitkan empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.
Mohamed Azmin berkata, isu tol itu sudah dibincangkan seawal Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan kerana ia adalah janji manifesto parti itu.
Katanya, kesan pengambilalihan itu mesti dikaji supaya ia tidak memberi implikasi kewangan untuk meneruskan agenda pembangunan negara yang lain.
“Ia harus diimbangi dengan peruntukan pembangunan negara,” katanya.
Ditanya berhubung dakwaan bahawa pengumuman itu untuk memancing undi, beliau berkata, tuduhan itu tidak benar kerana ia sudah dibincangkan sejak tujuh hingga lapan bulan lalu.
Sumber: cempedakcheese.com