Kanak-kanak lelaki tanpa vaksin meninggal dunia dijangkiti difteria

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disahkan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria di Johor Bahru, Johor kelmarin.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan memaklumkan kanak-kanak tersebut tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria sejak dilahirkan.

“Kanak-kanak tersebut mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari lalu dan telah dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari lalu dalam keadaan yang lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.

“Malangnya, kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Februari dengan sebab kematian mengalami difteria yang teruk dan kegagalan pelbagai organ.

“Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kes menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria,” jelas kenyataan itu hari ini.

Penyakit difteria disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria Corynebacterium diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku komplikasi bacteremia (infeksi darah) dan endokarditis (infeksi pada jantung) sehingga menyebabkan kegagalan organ, yang seterusnya boleh membawa maut. – UTUSAN ONLINE.



Sumber: cempedakcheese.com