Isu tol: ‘Kenapa BN selama 60 tahun tak buat?’ – Muhyiddin

HULU LANGAT – Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyindir Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun tanpa mengambil langkah yang sistematik dan praktikal berhubung isu tol bagi mengurangkan beban rakyat.

Bagaimanapun, katanya, Pakatan Harapan (PH) pula berusaha melaksanakan langkah itu dalam tempoh lapan bulan sahaja.

“Kenapa BN tak buat dalam tempoh 60 tahun? Cuba jawab. Bila kita buat dalam lapan bulan, kenapa persoalkan?

“Jadi, yang saya sebut pasal manifesto tu betul lah. Disebabkan situasi keadaan, walaupun tak dapat memenuhi, kita sudah tunjukkan betapa kita serius untuk menangani masalah yang boleh meringankan beban kepada rakyat. kita buat yang baik. Kalau buat yang baik, elok appreciate(hargai) lah. Jangan putar belit kenapa tidak begitu, kenapa tak begini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sembang Santai bersama penduduk Kampung Baru Semenyih, di sini hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Bhd. untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

Menurut kenyataan itu lagi, ia membabitkan empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Dengan kejayaan pengambilalihan tersebut, kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada.

Tambah Muhyiddin, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri selama 10 tahun, tetapi tidak menyelesaikan isu tol.

Kata Muhyiddin, PH melakukannya dalam tempoh singkat yang secara tidak langsung menunjukkan betapa kerajaan PH lebih cekap.

“Ini soalan tak berfaedah. Awak patut tanya Najib kembali kenapa dia tidak buat? Oh!, bila kita buat, Najib dok perli. Dia 60 tahun dalam kerajaan BN. saya pun ada kat sana dulu.

“Kenapa 10 tahun dia jadi Perdana Menteri. Kenapa dia tak selesaikan masalah? Ini memunjukkan betapa kita lebih cekap selesaikan walau tak semua, tapi berperingkat-peringkat. Rakyat mesti appreciate (hargai) apa yg kita buat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com