Irfan Bakti Tegur Pemain Import


Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, mencabar skuad bimbingannya supaya 'bangkit daripada tidur' dan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Mengakui beraksi di bawah tahap sebenar dalam dua aksi pertama, Irfan mengingatkan TFC untuk melupakan apa yang sudah berlaku dan jangan sesekali berputus asa.

Menurutnya, sikap terlalu menghormati lawan perlu diatasi serta mengatasi kesilapan individu, terutama di benteng pertahanan, bagi mengelak dibolosi dengan mudah.

"Walaupun JDT pasukan terbaik negara, perlu diingat kami pernah mengalahkan mereka.

"Pemain-pemain saya tidak boleh leka sepanjang 90 minit kerana JDT sebuah pasukan yang pantas dan bijak," kata Irfan.

Bekas jurulatih Felda United itu juga menegur prestasi tonggak importnya dengan melabel hanya Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov yang menyumbang kepada pasukan.

Kelibat kapten, Kipre Tchetche, pemain tengah Kemboja, Thierry Chantha Bin, serta pertahanan Serbia, Igor Zonjic, pula ujarnya belum mencapai prestasi terbaik.

"Agak mengecewakan kerana mereka tidak mempamerkan aksi seperti musim lalu sedangkan Shaahkhmedov yang baru tiba sudah pun mendapat rentak," tambah Irfan.

Naib juara Piala Malaysia 2018 itu masih mencari kemenangan pertama musim ini selepas sekadar seri 1-1 dengan PKNS FC sebelum tumpas 0-3 kepada Pahang.

JDT pula seperti yang dijangka bermula bergaya dengan menewaskan Perak 1-0 serta Kuala Lumpur 4-1. - Arena