Irfan Bakti Kenal Pasti Kelemahan Terengganu FC


Setelah mengharungi tiga perlawanan Liga Super Malaysia musim 2019, ketua jurulatih Terengganu Football Club (TFC), Irfan Bakti berjaya mengenal pasti kelemahan yang dihadapi oleh pasukan kendaliannya.

Antara kelemahan yang paling ketara dapat diperhatikan oleh pengendali berusia 67 tahun ini adalah di bahagian ‘midfield’ yang melibatkan gandingan trio Lee Tuck, Thierry Chantha Bin dan Sanjar Shaakhmedov.

Barisan serangan yang diketuai oleh Tchetche Kipre turut mendapat perhatian Irfan dan mereka digesa supaya lebih tajam di hadapan gol. Manakala benteng pertahanan yang terdiri daripada Adib Aizuddin, Nasrullah Hanif, Igor Zonjic dan Kamal Azizi pula diharapkan sentiasa fokus dengan acaman-ancaman lawan sepanjanng 90 minit permainan.

“Ada sedikit longgar di bahagian tengah, saya lihat pemain terlalu memberi banyak ruang kepada pemain lawan dalam aksi terdahulu terutama ketika bertemu JDT dan Pahang.

“Situasi ini harus diperbaiki kerana kita ingin mencipta kemenangan pertama dan berharap semua pemain yang diturunkan mampu memikul tugas itu dengan berkesan selain barisan penyerang juga perlu bijak menghidu peluang selain pertahanan tidak alpa,” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Setakat tiga perlawanan yang diharungi oleh TFC, mereka sekadar mencatatkan 2 seri menentang PKNS FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) serta merekodkan 1 kekalahan menentang Pahang. Ketika ini, pasukan berpengkalan di Kuala Terengganu itu menduduki tangga ke-7 liga dengan kutipan 2 mata.

TFC dijadualkan menentang skuad Kuala Lumpur (KL) pada jumaat ini, dan Irfan optimis anak buahnya mampu melakarkan kemenangan sulung dalam kempen Liga Super musim ini jika mengulangi persembahan mantap menentang JDT baru-baru ini.

Beliau berkata: “Saya percaya kemenangan pasti tiba buat pasukan kami, hanya tunggu masa dan jika mereka beraksi sebagaimana bertemu JDT dengan disiplin yang tinggi, saya beranggapan tidak ada halangan buat pasukan mengutip mata bertemu dengan skuad Kuala Lumpur Jumaat ini.

“Ini kerana bagi kami beraksi di tempat lawan pun aksi mereka lebih kurang sama, tapi yang penting pemain perlu beraksi sehingga minit terakhir perlawanan dan tidak cepat puas hati serta jangan putus asa jika ketinggalan,” kata Irfan. - Foxsports Malaysia