KUALA TERENGGANU: Kegagalan pada final Piala Malaysia tahun lalu masih lagi berbekas buat pertahanan import Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic apabila dia memberikan 'talian hayat’ kepada Perak selepas tertampan bola masuk ke gawangnya sendiri ketika masa permainan berbaki beberapa saat lagi sebelum ditamatkan pengadil.
lebih perit sepakan penentuan penalti yang diambilnya selepas tamat permainan yang berlanjutan hingga masa tambahan gagal menerjah jaring gol membuatkan pasukannya gigit jari hanya merangkul naib juara piala itu selepas tewas 1- 4 menerusi penentuan sepakan itu selepas kedudukan sebenar terikat 3-3.
Bagaimanapun bekas pemain skuad kebangsaan Montenegro bawah 19 dan 21 tahun itu bertekad mahu menebus kembali 'dosanya’ pada perlawanan itu apabila kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan pada aksi Liga Super pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.
"Semestinya saya sasarkan kemenangan bertemu pasukan itu selepas tumpas dalam perebutan menjulang Piala Malaysia musim lalu buat kali pertama dalam sejarah saya beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
"Seperti teringat final musim lalu, ia menjadi kenangan paling pahit buat pasukan terutama saya yang tertampan bola ke gawang sendiri ketika kami sudah berada diambang kemenangan merangkul piala berprestij itu.
"Justeru, dendam kami sudah pasti membara untuk menebus kembali kehampaan itu dan berharap ianya menjadi realiti dan bakal memberi kelebihan kepada kami beraksi di laman sendiri," katanya yang pernah menyarung jersi 10 kelab lain sebelum menyertai skuad Penyu.
Selain kental bertahan, pemain berketinggian 1.86 meter itu layak dilabel pakar tandukan selepas lima gol yang dihasilkan musim lalu adalah berpunca daripada tandukan.
Malah tandukannnya pada minit ke- 68 hasil sepakan sudut Lee Tuck membolehkan TFC mengutip mata penuh ketika menumpaskan Kuala Lumpur Jumaat lalu.
"Saya tidak suka bandingkan kekuatan pasukan musim ini dengan musim lalu walaupun jurulatihnya sama, tapi TFC mempunyai pemain yang berkualiti seperti mana tahun lalu dan ia penting bagi pasukan dalam mengharungi kempen Liga-M yang lebih mencabar ini.
"Posisi pertahanan masih sama, jadi saya yakin dengan rakan sepasukan saya, kami janji akan berikan yang terbaik, namun pada masa sama saya minta semua penyokong TFC untuk turun ke stadium dan sokong kami kerana merekalah pemain ke-12 kami," ujar Zonjic. - Berita Harian