Soalan:
Ada orang kata, tidak boleh menyebut “Saya lupa ayat al-Quran ini”, tetapi dilupakan. Benarkah begitu?
Jawapan:
Imam Nawawi Rahimahullah berkata: Makruh seseorang mengatakan, “Aku lupa ayat ini.” Bahkan hendaklah dia katakan, “Aku dilupakan terhadapnya.” (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran (terjemahan), hlm. 134)
Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَقُلْ أَحَدُكُمْ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ بَلْ هُوَ نُسِّىَ
“Janganlah seseorang daripada kamu berkata: “Aku lupa ayat begini dan begini.” Tetapi ia adalah sesuatu yang dilupakan.” [Riwayat al-Bukhari (5032) dan Muslim (792)]
Berdasarkan nas di atas, larangan daripada menyebut aku lupa ayat sekian-sekian. Dalam satu riwayat yang lain menyebut:
بِئْسَمَا لأَحَدِهِمْ أَنْ يَقُولَ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ ، بَلْ هُوَ نُسِّيَ
“Sungguh buruk seseorang daripada kamu yang mengatakan ‘Aku lupa ayat begini dan begini’, bahkan ia adalah sesuatu yang dilupakan.” [Riwayat Muslim (791)]
Al-Baghawi dalam kitabnya, Syarh al-Sunnah (4/495) berkata: “Lupa iaitu hukuman dengan sebab dosa atau kurangnya penjagaan tentang al-Quran.”
Abu Ubaidah pula berkata: “Sesungguhnya, orang yang meninggalkan bacaan al-Quran dan menjauhkan daripadanya, itulah yang diisyaratkan dalam hadis supaya sentiasa ingat dan zikir dengan al-Quran.”
Al-Dahhak pula berkata: “Tiada seorang yang belaajar al-Quran kemudian dia lupa, kecuali dengan sebab dosa yang dia lakukan.”
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa).” [Surah al-Syura (30)]
Antara sebab untuk mengingat al-Quran dan tidak melupakannya iaitu selalu mengulanginya saban hari. Inilah yang dilakukan oleh salafus soleh.
Imam al-Nawawi berkata: “Hendaklah seseorang memelihara bacaan al-Quran dan memperbanyakkan bacaan. Ulama salafus soleh mempunyai kebiasaan yang berlainan tentang tempoh dan jangka masa dalam mengkhatamkan al-Quran.”
Kita juga pernah mendengar yang bahawa Imam al-Syafie khatam al-Quran sehari sekali serta dua kali sehari pada bulan Ramadhan. Hal ini disahkan oleh al-Rabi' bin Sulaiman, salah seorang murid kanannya dan telah diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim serta oleh al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal (1/335), Imam al-Zahabi dalam Siyar A'lam al-Nubala' (10/36), Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' (1/12) daripada al-Humaidi dan Ibn Asakir dalam Tarikh Madinah Dimasyq (51/393).
Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah supaya kita sentiasa ingat Al-Quran al-Karim dan dijauhkan daripada sifat pelupa. Amin.
الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نُسِّيْنَا، وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا، وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَأطْرَافَ الْنَهَار، واجْعَلهُ لَنَا حُجَّة يَا ربَّ الْعَالَمِيْن
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: Oh! Media